TEORI demi teori. Simulasi demi simulasi. Pakar forensik berbalah pendapat. Peguam bela tidak yakin teori pakar. Ugutan terhadap pakar.

Itu ‘babak-babak’ perkembangan inkues anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim yang sudah berlarutan sehingga prosiding ke-36 dan tiada lagi gambaran konkrit dapat dicapai bagi mencari punca sebenar kematian anggota bomba itu.

Kini sudah lima bulan berlalu, tiada perkembangan positif ditunjukkan daripada inkues kematian Adib selepas kerajaan membenarkan siasatan dijalankan bagi menolak kemungkian Adib meninggal dunia akibat dipukul.

Dalam tempoh lima bulan ini, rakyat semakin bosan dengan drama demi drama di Mahkamah Shah Alam seolah-olah ada satu cubaan untuk memadamkan tuntutan keadilan terhadap kematian Adib.

Rakyat tidak akan lupa. Begitu juga keluarga Adib. Mereka mahukan keadilan terhadap kematian insan yang mereka sayang.

Rakyat tidak mahu mendengar perbalahan teori antara pakar-pakar forensik dan sebagainya.

Bukan sahaja rakyat, malahan peguam bagi Adib turut berasa keliru dengan teori yang dikemukakan pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, menyifatkan tindakan Ahmad Hafizam meletakkan gambar bahu jalan di dalam laporan tersebut mengelirukan mahkamah.

Ahmad Hafizam juga merupakan saksi yang mempertikaikan teori pakar lain.

Beliau merupakan saksi ke-24 yang bertanggungjawab melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib dan telah memberi keterangan sebanyak 9 kali sepanjang prosiding inkues.

Apa gunanya memanggil pakar forensik berulang kali untuk membuktikan teori mereka betul berdasarkan kecederaan arwah Adib?

Sedangkan saksi sebenar kejadian iaitu anggota bomba atau perusuh sudah memberi keterangan yang menunjukkan Adib kemungkinan besar dipukul pada malam rusuhan di Kuil Seafield.

Sepatutnya usaha memburu lebih ramai suspek punca kematian Adib dijalankan sementara menunggu inkues tersebut berjalan.

Jika tidak, ini menggambarkan seolah-olah kerajaan mahu membuktikan bahawa Adib meninggal dunia bukan akibat dipukul, tetapi dilanggar kenderaan bomba.

Sampai bila drama ini akan berterusan? Rakyat tuntut keadilan buat arwah Adib! – NTHQiBord, 18 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.