CARA terbaik untuk MCA khususnya Barisan Nasional (BN) meraih sokongan orang Cina adalah dengan kesepakatan yang jelas antara barisan parti komponen, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.

Datuk Mohd Irwan Rizal berkata bukan mudah untuk MCA mengambil langkah keluar daripada BN memandangkan parti itu sudah lama berada dalam  komponen itu.

“Perlu ada perbincangan untuk tarik kembali sokongan orang Cina terhadap BN, itu yang perlu diberi fokus.

“Tapi bukan dengan secara tiba-tiba keluar daripada BN,” ujarnya.

Irwan mempertikai kenyataan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek yang memberikan cadangan berkenaan malah menyoal strategi yang dirangka dalam meraih hati masyarakat itu.

Beliau bagaimanapun percaya bahawa kepimpinan MCA yang diketuai oleh presiden baharu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berfikiran rasional dalam merangka plan terbaik untuk parti.

“Saya kira ada rakan-rakan dalam MCA yang tidak setuju dengan kenyataan beliau kerana saya percaya mereka banyak pengalaman dan berfikiran matang dalam politik.

“Beliau (Chua) seolah-olah salahkan BN secara keseluruhan sebab kurangnya sokongan masyarakat Cina, ini tidak adil sama sekali sebab MCA komponen BN dan sahabat  yang cukup lama.

“Dan saya nak tanya kepada Chua apakah jaminan daripada beliau kalau MCA keluar BN, orang Cina akan sokong MCA balik?” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerjasama antara PAS dan UMNO bukan sebab untuk MCA menarik diri daripada BN malah ianya adalah untuk kepentingan bersama khususnya untuk rakyat.

“Pejuangan sama iaitu untuk rakyat Malaysia. Sama juga dengan MCA ada tujuan untuk orang Cina, tetapi saya percaya tidak akan berlakunya penindasan terhadap orang Melayu, India dan lain.

“Sama juga dengan UMNO dan PAS, tidak akan tindas hak kaum-kaum lain.

“Mana-mana pihak tidak perlu risau, Islam tak ajar kita untuk tindas bangsa yang lain.

Hari ini, Chua memberitahu sebuah portal bahawa MCA parti itu tidak ada pilihan lain melainkan untuk keluar daripada BN dalam memulihkan semula parti itu.

Bekas menteri kesihatan itu turut berkata walaupun MCA bakal hilang sokongan orang Melayu namun ianya sebagai langkah terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pada PRU-14 , MCA hanya menang satu kerusi Parlimen menerusi presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – NTHQiBord, 19 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.