SATU lagi parti politik ditubuhkan. Satu lagi perpecahan rakyat akan berlaku terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Semalam, bekas orang kuat bakal perdana menteri, Datuk Ezam Mohd. Nor mengumumkan penubuhan Parti Negara dengan tujuan melawan rasuah.

Meskipun niatnya baik untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam memerangi rasuah, tetapi penubuhannya atas platform politik ternyata mengundang kecaman rakyat.

Ada pihak yang persoalkan kenapa Ezam tidak tubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja?

Ada juga yang pertikaikan penubuhan Parti Negara seolah-olah mengenepikan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).

Ada juga mengatakan Ezam mendapat tajaan untuk tubuh parti baru, sama seperti Parti Putra yang diumumkan baru-baru ini, untuk pecah belah kerjasama UMNO-PAS.

Namun rata-rata rakyat yang mengeluarkan pendapat menerusi media sosial mengecam penubuhan parti politik oleh Ezam itu.

Ada komen yang menasihat agar Ezam perbaiki kerjasama PAS-UMNO daripada terus memecahbelah orang Melayu.

Bagaimanapun penubuhan parti itu belum muktamad kerana Ezam perlu menunggu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebelum ini, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebagai alternatif kepada orang Melayu memperjuangkan kepentingan kaum tersebut dan agama Islam.

Namun penubuhan parti itu juga menerima kecaman daripada rakyat terutamanya orang Melayu yang menyifatkan ia sebagai satu lagi alat perpecahan kepada kaum tersebut.

Pada 2017, Ezam pernah menyatakan hasrat untuk menubuhkan ‘Parti Bebas Rasuah’.

Ezam yang sebelum ini menyertai Umno semula pada Mei 2008 dan berkhidmat dengan kerajaan berkata, ‘Parti Bebas Rasuah’ itu tidak berminat untuk membentuk kuasa seperti parti politik lain.

Selain Umno dan PKR, Ezam juga pernah memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun ia dipimpin tokoh yang pernah ditentangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Borang permohonan itu diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Oktober 2016.

Bagaimanapun penghujung Disember tahun lalu – atau tiga bulan selepas memohon menyertai Bersatu, Ezam meninggalkan parti berkenaan. – 19 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.