KERAJAAN perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dalam membendung penularan berita palsu, terutama melibatkan fakta sejarah.

Pakar sejarah, Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, kewujudan badan tindakan khas ini mestilah dianggotai oleh individu yang mempunyai ilmu yang mendalam berkenaan sejarah untuk menangkis dakwaan palsu ini.

“Saya merasakan kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengekang fakta-fakta palsu.

“Dianggotai oleh sejarawan yang berpengetahuan dalam bidang sejarah.

“Untuk berhadapan dengan isu kesahihan fakta dalam media sosial khususnya.

“Mungkin cybertrooper untuk melawan fakta-fakta sejarah, bertujuan menghalang berita yang tidak benar dan hanya berdasarkan sentimen emosi ini terus merebak, “ katanya ditemui selepas wawancara Dimensi : Menteri Perpaduan Tak Perform? bersama Nothing to Hide, baru-baru ini.

Tambah beliau, sekiranya keadaan ini dibiarkan ianya memberi ruang dan peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus menyebarkan berita palsu, terutama menerusi media sosial.

Kelompok belia dan remaja yang banyak menghabiskan masa di laman sesawang ini antara mangsa yang sering kali menjadi sasaran kumpulan yang berniat jahat ini, jelas Dr Sahul.

Menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, jawatankuasa khas ini wajar diwujudkan khususnya mengekang berita palsu terutama melibatkan sejarah penting negara, sebagai contoh tragedi 13 Mei 1969.

“Kerana kalau kita tidak lawan, benda ini memberikan natijah yang buruk. Jika kita tengok di media sosial, banyak isu-isu tidak benar yang diwar-warkan.

“Sampaikan fakta yang tidak benar ini menyelinap masuk ke sekolah-sekolah. Keadaan ini disebabkan pelajar sekolah mula tanya mengenai perkara yang bukan-bukan.

“Sebab mereka tidak belajar daripada buku yang telah melalui proses akademik. Tetapi belajar menerusi tulisan-tulisan yang bersifat sentimen dan emosi.

“Kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang penting, tubuh cybertrooper untuk fokus kepada hal-hal berkenaan sejarah dan politik untuk jawab perkara yang tidak benar,” tegasnya. – NTHQiBord, 19 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.