ARAB SAUDI bersiap-siaga mempertahankan dirinya daripada sebarang ancaman termasuk dari Iran, tetapi mencuba yang terbaik bagi memastikan tiada peperangan berlaku di rantau Teluk.

Menteri Hal Ehwal Luarnya, Adel al-Jubeir menuduh Iran melakukan banyak jenayah termasuk cubaan untuk memecahbelahkan rantau ini dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tanggungjawab menghalang Teheran daripada berbuat demikian.

“Keselamatan dan agama kami adalah perkara terpenting yang akan diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menempatkan sejumlah anggota tenteranya di kawasan per­airan di Teluk Arab dan di beberapa negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Arab News yang memetik laporan akhbar tempatan mela­porkan, ‘permintaan’ Washington itu mendapat kelulusan daripada beberapa negara GCC termasuk Arab Saudi.

Menurut sumber, objektif utama langkah itu dibuat adalah untuk membolehkan Washing­ton dan GCC bekerja­sama menentang sebarang ancaman serta provokasi ketenteraan dari Iran atau kepentingan AS di rantau ini.

Ketegangan semakin buruk susulan serangan terhadap saluran paip minyak Arab Saudi dan sejumlah kapal kargo di Teluk Arab iaitu di Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sumber itu juga menyebut bahawa beberapa negara Arab turut bercadang mengadakan sidang kemuncak pada persidangan Islam yang dijadualkan berlangsung di Mekah pada 10 hari terakhir Ramadan.

Dalam hal berkaitan, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarid melahirkan keyakinan bahawa tiada peperangan akan tercetus di Asia Barat biarpun ketegangan antara Iran dan AS semakin memuncak.

Katanya, tiada pihak yang ingin berperang sama ada Iran atau AS namun beliau ‘mengingatkan’ Amerika bahawa ma­syarakatnya perlu sedar akan langkah berbahaya yang terdapat dalam negara berkenaan. – 20 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.