CADANGAN Tan Sri Chua Soi Lek supaya MCA keluar daripada Barisan Nasional dianggap ketinggalan dari segi politik semasa terutama selepas PRU 14, demikian kata Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS.

“Beliau ketinggalan dari segi perkembangan politik semasa, perubahan demografi dan masih membawa pemikiran lama terutama selepas PRU 14. Tidak sesuai untuk politik hari ini,” kata Idris yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Bagi Idris, jika begitulah cara pemikirannya, mungkin sesuai jika Chua menyertai DAP.

Keputusan MCA untuk terus kekal dalam Barisan Nasional adalah sesuatu tindakan yang baik, dalam konteks untuk menunjukkan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum, kata Idris lagi ketika dihubungi NTHQiBord.

“Jangan takut dengan naratif ‘Islam memimpin’. Sedangkan jika Islam memimpin, orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu akan selamat. Tidak berlaku penindasan dan tindakan zalim terhadap mereka,” kata Idris.

Pada Mac lalu, Presiden MCA dan MIC membuat kenyataan tidak lagi bersama BN, namun beberapa hari selepasnya mengumumkan untuk terus kekal.

Hakikatnya perubahan politik Malaysia hari ini mula memberi tekanan kepada kerajaan DAP-PH sekali gus corak sokongan rakyat mula kembali kepada BN, apatah lagi dengan kerjasama dengan PAS mula menampakkan hasilnya dalam beberapa pilihan raya kecil. – NTHQIBORD 20 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.