BERTUBI-TUBI Dr. Maszlee Malik diasak tiga parti Cina iaitu DAP, Gerakan dan MCA apabila Menteri Pendidikan itu pertahan dasar kuota matrikulasi dan pertikai syarat majikan yang menetapkan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum Bumiputera.

Boleh dikatakan ini keberanian kali pertama dilakukan Maszlee dalam mempertahankan hak Bumiputera selepas beliau terpalit dengan beberapa kontroversi seperti pelaksanaan kasut hitam, ajar berenang di hotel, buka stesen minyak di universiti dan beberapa lagi.

Namun keberanian Maszlee kali ini mengundang kemarahan ‘abang long’ dalam Pakatan Harapan, apabila beberapa pemimpin Bangsa DAP melenting dan mendesak beliau untuk memohon maaf kerana mengaitkan aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi dengan ketidakadilan ke atas golongan Melayu dalam memohon pekerjaan di sektor swasta.

Setidak-tidaknya, jiwa keMelayuan Maszlee mungkin sudah mula terjentik apabila ada pihak cuba menggugat hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Bukan salah Maszlee apabila beliau bangkit pertahankan hal matrikulasi itu kerana bosnya sendiri, Tun Mahathir Mohamad yang mula membuka ruang apabila Perdana Menteri itu mengatakan matrikulasi sebagai pintu belakang orang Melayu untuk masuk ke universiti.

Ternyata kenyataan ‘pancing’ Tun Mahathir itu membuka wajah sebenar beberapa pihak termasuk Gerakan dan DAP yang mahu kerajaan menghapuskan amalan mengutamakan pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi pra-universiti.

Pemuda DAP sifatkan amalan itu bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada diskriminasi terhadap setiap warganegara.

Sekutu lama DAP, Gerakan pula cuba meneguk air di keruh apabila mendesak DAP menggantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan yang cuba pertahankan hak Bumiputera.

Desakan itu disuarakan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai sendiri yang mengharapkan DAP menggunakan pengaruh 41 kerusi Parlimen termasuk enam menteri Kabinet untuk meminta Tun Mahathir bagi menggantikan Maszlee.

Bukan itu saja, Dominic mahu Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Malah ada satu lagi tekanan buat Maszlee apabila satu petisyen diadakan untuk mendesak Maszlee ditukarkan.

Petisyen itu dibuka kira-kira tiga minggu lalu oleh individu bernama Stephen Ng dan kini sudah meraih lebih 48,000 tandatangan.

Stephen menyifatkan Maszlee sebagai beban dalam Pakatan Harapan kerana memperkenalkan dasar mengarut termasuk menggesa guru agama menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai ‘medan dakwah’ dalam menyebarkan ajaran Islam.

Tidak mustahil petisyen ini akan mendapat sambutan hangat, lebih-lebih lagi dari pengikut Bangsa DAP yang terkesan dengan isu matrikulasi ini.

Jadi persoalannya, adakah Tun Mahathir akan tunduk kepada tekanan Bangsa DAP ini walaupun Maszlee mahu pertahankan hak majoriti rakyat berbangsa Melayu di negara ini?

Jika Tun Mahathir akur, maka tidak adil buat orang Melayu yang sebelum ini pernah mendesak peletakan jawatan P. Waytha Moorty kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Perpaduan.

Setakat hari ini, sudah 316,260 tandatangan direkodkan, tetapi masih tiada tindakan diambil ke atas Waytha. – 20 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.