KERAJAAN Negeri Kelantan menarik balik samannya terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak.

Penarikan itu disahkan oleh peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan Kelantan ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi.

Aleeya berkata pihaknya sudah menarik balik saman melalui notis untuk tidak meneruskan tuntutan berkenaan pada 13 Mei lalu.

Namun, beliau berkata, tiada sebarang arahan berhubung kes saman sama yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan selaku defendan kedua.

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelaantan memfailkan saman dengan menamakan Petronas sebagai defendan kerana mendakwa syarikat minyak itu melanggar kontrak pembayaran royalti kepada plaintif (Kelantan) berhubung pendapatan minyak.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal.

Dalam saman itu, Kerajaan Kelantan menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum

Menurut kerajaan negeri, Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas tertera PETRONAS harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha cari gali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Katanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada/atau sebelum 1 Mac dan pada/atau sebelum 1 September.

Prosiding dijalankan di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Bache dan turut dihadiri Peguam Persekutusan, Siti Asmath Che Man.

Usaha Kelantan untuk mendapatkan hak royalti ini bermula sejak zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz masih lagi memegang jawatan menteri besar. Kemudiannya diteruskan oleh penggantinya Datuk Ahmad Yakob. – NTHQIBORD 21 MEI 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.