NAJIB lawan Kit Siang! Bossku lawan Menteri Hal Ehwal Najib!

Amat menarik jika kedua-dua seteru media sosial ini bersemuka di medan perdebatan.

Sudah lama Datuk Seri Najib Razak dan Lim Kit Siang bercakaran dalam media sosial dengan setiap pihak saling menyindir dan memerli antara satu sama lain.

Tambahan lagi, selepas Kit Siang kini sudah bergelar kerajaan, maka makin galak dan obses veteran Bangsa DAP itu menyerang Najib.

Pujian juga harus diberikan pada Najib kerana tidak sekadar berdiam diri.

Biar pun terbeban dengan kes mahkamah yang sedang berjalan, Najib masih tenang membalas sindiran Kit Siang secara berfakta dan tidak membuta-tuli.

Kit Siang pula hanya menggunakan modal yang sama iaitu mengkritik kempen “Malu Apa Bossku” yang digunakan oleh Najib untuk mendekati rakyat sejak akhir tahun lalu.

Katanya, kempen itu cuba menggagalkan proses reformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Pakatan Harapan.

Tetapi Najib menjelaskan ‘Malu Apa Bossku’ bukan kempen yang beliau gerakkan tetapi bermula daripada rakyat terutamanya anak muda.

Mungkin kerana mahu melayan kerenah Kit Siang yang terlalu obses dengan dirinya, Najib secara terbuka mengajak Lim Kit Siang berdebat, untuk mengemukakan pendirian masing-masing atas isu tertentu.

Dalam satu wawancara bersama sebuah portal, Najib berkata Kit Siang obses terhadapnya walaupun beliau sudah menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Saya dah jawab tiap kali Kit Siang membuat kenyataan, sehingga ada dalam posting saya, saya bagi dia gelaran ‘Menteri Hal Ehwal Najib’.

“Jadi, saya fikir lebih elok kita ada debat dengan Kit Siang,” katanya.

Menurut Najib, debat beliau dengan Lim itu boleh saja dibuat dengan gaya bebas.

“Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Dalam semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran.”

Najib yakin Lim boleh ada masa untuk berdebat dengannya kerana veteran DAP itu tiada apa-apa jawatan dalam Kabinet.

“Sekiranya dia cukup lapang untuk menulis pelbagai kenyataan setiap hari, dia sepatutnya lapang untuk berdebat.”

Mahu tidak mahu, Kit Siang terpaksa menyahut cabaran itu.

Seperti sudah dijangka, Kit Siang memilih topik yang kononnya boleh memalukkan Najib.

“Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global dan bagaimana kita dapat menjadi contoh negara berintegriti”, itu tajuk yang dipilih.

Tapi Kit Siang silap, Najib setuju dengan tajuk debat berkenaan kleptokrasi yang dicadangkan Kit Siang.

Namun beliau berharap topik lain juga dapat dibincangkan dalam perdebatan antara mereka nanti.

“Lim telah setuju untuk berdebat dengan saya.

“Dia cadangankan topik debat…Saya terima tajuk yang disarankannya tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Lim terdahulu yang mencadangkan tajuk debat iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global dan bagaimana kita dapat menjadi contoh negara berintegriti”.

Tidak sabar rasanya jika debat ini benar-benar berlaku. – 21 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.