HUAWEI, pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia dan peneraju dalam teknologi 5G, kini berhadapan dengan krisis apabila disenaraihitam oleh pentadbiran Donald Trump.

Krisis terhadap Huawei ini bermula apabila Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa perantinya boleh digunakan oleh Beijing untuk tujuan pengintipan. Walau bagaimanapun China menafikannya.

Akibat tindakan AS itu, Google dan Android tidak lagi membekalkan perisian mereka untuk kegunaan Huawei. Ini bermakna model terbaru Huawei tidak lagi mempunyai akses kepada aplikasi dan perkhidmatan Google, seperti perkhidmatan e-mel Gmail.

Selain itu pengeluar cip termasuk Intel Corp, Qualcomm Inc, Xilinx Inc dan Broadcom Inc turut menghentikan bekalan kepada Huawei sehingga diberitahu.

Selama ini Huawei bergantung kepada perisian asing. Ia membeli komponen bernilai AS$67 bilion setiap tahun, termasuk kira-kira AS$11 bilion daripada pembekal AS.

Pada tahun 2018, syarikat ini merekodkan jualan segmen perniagaan pengguna tertinggi sebanyak AS$52 bilion.

Kesan daripada tindakan AS ini mula dirasai. Pasaran saham beberapa syarikat mula jatuh seperti Saham Infineon Technologies AG, syarikat dari Jerman dan STMicroelectronics NV dan AMS AG dari Austria.

Beberapa syarikat di AS juga turut merasai bahangnya.

Apple Inc merosot 3.3 peratus, pembekal Huawei, termasuk Qualcomm, Micron Technology dan Broadcom Inc, jatuh sekitar 5 peratus, sementara Indeks Semikonduktor Philadelphia merosot 2.88 peratus, paras paling rendah dalam tempoh lebih daripada dua bulan.

Saham Alphabet, Facebook Inc dan Microsoft Corporation semuanya turun lebih daripada 2 peratus.

“Bagi banyak syarikat berteknologi ini, tidak ada pasaran yang lebih besar daripada China, dan ada kebimbangan bahawa tindakan ini menyebabkan China membangunkan alternatif,” kata Rick Meckler, rakan kongsi di Pelaburan Cherry Lane di New Vernon, New Jersey.

“Terlalu banyak spekulasi dan tidak ada asas, tetapi ia kelihatan seperti perbincangan perdagangan semakin buruk dan tidak lebih baik.”

Kemungkinan syarikat teknologi AS, Lumentum Holdings Inc akan menghentikan penghantaran ke Huawei dan mengurangkan jangkaan pendapatan suku tahunannya. Saham Lumenum turun 2.68 peratus.

Sementara pembuat cip termasuk Intel Corporation, Qualcomm, Xilinx Inc dan Broadcom Inc tidak akan membekalkan syarikat China itu sehingga ada perubahan terbaharu.

Walau bagaimanapun, pengguna Google yang sedia ada boleh terus menggunakan telefon pintar mereka sama ada untuk memuatnaik atau menaiktaraf sistem. – 21 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.