PENIAGA di Jalan Masjid Jamek tidak mahu berpindah sekiranya diarahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata seorang pemilik kedai aksesori wanita.

Masitah Dewi Ibrahim berpendapat sebaiknya kawasan kebakaran dibersihkan dahulu untuk urusan jual beli beroperasi semula.

“Saya tidak setuju (seandainya dipindahkan).

“Bagi pendapat saya lebih baik bersihkan tempat itu dahulu,” katanya.

Beliau juga meluahkan kebimbangan sekiranya tempat baharu yang disediakan itu tidak strategik nescaya akan menganggu perniagaannya.

“Kalau hendak pindah…di mana pula tempatnya. Saya tidak mahu sekiranya diberikan tempat yang tersorok,” tegasnya ketika dihubungi semalam.

DBKL semasa melakukan lawatan lokasi kebakaran sebelum ini bercadang untuk memindahkan peniaga di Jalan Masjid Jamek ke suatu tempat yang dipersetujui bersama.

Malam semalam, hampir 30 kedai di Jalan Masjid India musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1.35 pagi.

NTHQiBord sempat melakukan tinjauan ke sana dan mendapati kesemua kedai dalam keadaan gelap dan menutup operasi perniagaan.

Malah didapati kesan kebakaran di tempat kejadian masih ada.

Masitah memaklumkan kesemua kedai pada ketika ini tidak beroperasi kerana siasatan berkenaan punca sebenar kejadian sedang berjalan.

“Kedai tidak boleh di buka lagi, elektrik tiada dan pihak berkuasa sekarang ini tengah buat siasatan,” ujarnya.

Masitah memaklumkan bahawa ketika kejadian hampir ke semua kedai telah tutup, hanya beberapa sahaja yang masih beroperasi.

“Waktu kejadian pukul 1.20 mcm itu semua kedai sudah tutup tetapi ada seorang peniaga nampak api dalam satu kedai.

“Dia cuba masuk tetapi api pada masa itu sangat marak,” ujarnya

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), L. Logeswaran memaklumkan ketika pihak beliau sampai ke tempat kejadian mendapati 30 kedai tersebut telah bakar sepenuhnya.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 2.04 pagi.

“Kerja-kerja pemadaman ‘overhaul’ sedang dijalankan dan unit Siasatan Kebakaran telah berada dilokasi kejadian untuk menyiasat punca kebakaran tersebut,” ujarnya. -NTHQiBord, 22 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.