KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak boleh berlengah-lengah lagi untuk membuat pengumuman berhubung status siasatan skandal pembinaan terowong Pulau Pinang yang menelan kos berbilion-bilion.

Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk M. Nyanasegaran berkata rakyat berhak untuk tahu hasil siasatan kes itu yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata rakyat Malaysia dapat merasakan bahawa skandal terowong itu mungkin akhirnya ‘terpadam’, sama seperti kes rasuah bungalow yang melibatkan Lim Guan Eng.

“Skandal terowong ini sudah terbongkar sejak beberapa tahun lalu, tetapi sehingga hari ini SPRM atau Peguam Negara tidak memberitahu tentang status kes itu.

“Rakyat berhak tahu tentang status kes itu. Sikap PH membisu tentang skandal terowong Pulau Pinang amat menghairankan.

“Mereka sepatutnya mengumumkan status kes itu bagi mengelakkan spekulasi.

“Rakyat berharap siasatan skandal itu tidak hilang seperti kes bungalow,” kata Nyanasegaran.

Guan Eng didakwa membeli hartanah yang terletak di Jalan Pinhorn, Georgetown, di bawah harga pasaran daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerajaan negeri di bawahnya ketika itu.

Bagaimanapun selepas PH menang PRU14, Peguam Negara Tommy Thomas menggugurkan kes itu, sekali gus mengundang persepi bahawa kerajaan baharu cuba menyembunyikan kes tersebut.

Skandal terowong itu disifatkan kes rompakan secara terang-terangan paling besar sejak skandal forex yang berlaku kira-kira tiga dekad lalu.

Sehubungan itu, Nyanasegaran berkata rakyat Malaysia berharap kerajaan PH dapat memastikan undang-undang dilaksanakan dengan adil terhadap kes itu.

“Kerajaan PH selalu mendakwa mereka jaguh dalam mendaulatkan undang-undang dan tidak dicemari rasuah, jadi buktikanlah.”

Beliau berkata kertas siasatan SPRM berhubung skandal itu tersebar dalam portal Malaysia Today beberapa bulan lalu dan mendedahkan dalang yang terlibat.

SPRM juga gagal menjelaskan kesahihan kertas siasatan itu.

Selain Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri, II P. Ramasamy; dan bekas ahli eksekutif majlis perbandaran, Lim Hock Seng dan Malik Kasim turut disebut dalam kertas siasatan itu.

Dokumen itu merekodkan keterangan yang diberikan oleh Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan syarikat kontraktor utama projek terowong itu.

Berdasarkan kertas siasatan itu, Zarul memberi rasuah RM22 juta bagi menutup siasatan SPRM dan memastikan fail siasatan itu tidak diteruskan.

Dan, ini adalah fakta kerana ‘ejen rasuah’, G. Gnanaraja kini berdepan perbicaraan atas tuduhan rasuah. – NTHQiBord, 22 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.