POLEMIK matrikulasi tercetus apabila Tun Mahathir Mohamad mendakwa institusi pengajian itu sebagai pintu belakang untuk masuk ke universiti.

Tidak setakat itu, Perdana Menteri turut menyalahkan sikap Melayu malas antara sebab golongan itu sering ketinggalan dalam banyak perkara termasuk sektor pengajian dan perniagaan.

Tidak tahu apa niat si penyampainya namun jika dilihat andaian itu diberikan seolah-olah menggambarkan bahawa orang Melayu ini sememangnya hanya layak dikaitkan dengan perkara negatif.

Kenapa pulak disentuh berkenaan pendidikan anak-anak bangsa sendiri ?

Andai kata memang benarlah program matrikulasi ini adalah sebagai pintu belakang kepada orang Melayu untuk melanjutkan pelajaran, apa yang dilihat sebagai salah?

Kita bukan mahu menafikan hak bangsa lain untuk melanjutkan pelajaran, tetapi kerajaan sepatutnya perlu membela masyarakat Melayu yang merupakan penduduk asal di negara ini.

Menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f Datuk Dr Teo Kok Seong matrikulasi ini adalah satu kelebihan kepada orang Melayu berdasarkan kontrak sosial.

“Ini kerana jika ambil kira Perlembagaan dan ikut sejarah dalam kontrak sosial, program matrikulasi adalah sebahagian daripadanya.

“Dalam kontrak sosial, orang Melayu merupakan penduduk asal yang perlu diberi keistimewaan. Jika matrikulasi dihapuskan, ini mencabuli kontrak sosial,” katanya.

Bangsa lain juga tidak dinafikan hak mereka di dalam melanjutkan pelajaran, bukankah masih ada lagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan program Diploma yang boleh mereka ikuti.

Jadi kenapa DAP, Gerakan dan MCA perlu mempertikaikan soal isu kuota matrikulasi ini?

Tindakan mereka ini seolah-olah menjentik kesabaran orang Melayu yang kononnya bersikap berat sebelah dan melakukan diskriminasi terhadap bangsa lain.

Cuba semak kembali, siapa yang cuba melakukan amalan diskriminasi ini?

Jika kita lihat iklan-iklan jawatan kosong di sektor swasta, bukan kakitangan yang fasih dalam Bahasa Melayu yang mereka cari.

Tetapi kefasihan dalam Bahasa Mandarin yang dikehendaki, sehinggakan menafikan hak orang Melayu dan India daripada memperoleh pekerjaan.

Sekiranya diamati di mana-mana ruangan mencari kerja di internet sememangnya hampir 80 peratus menghendaki individu yang mahir dalam bahasa berkenaan.

Bukankah itu juga satu diskriminasi ? Cuba anda bayangkan, orang Melayu sendiri seakan dipinggirkan di tanah air sendiri.

Kita bukannya bangsa pendatang hingga diperlakukan sebegini.

Pemikiran bahawa Melayu adalah malas dan tidak mempunyai daya usaha untuk memajukan diri perlu dihakis.

Hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dikatakan sebagai guna jalan belakang, sampaikan hendak mencari kerja pula tidak diberi peluang.

Kononnya malas sebab tidak tahu atau tidak mahu belajar Bahasa Mandarin.

Perkara ini dibangkitkan oleh Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil yang mengatakan bahawa pemikiran negatif ini sebenarnya memberi gambaran buruk kepada bangsa Melayu.

Menurutnya pemimpin seharusnya bersikap neutral dan tidak perlu membuat andaian yang tidak benar mengenai sesuatu kelompok, terutama terhadap kaum sendiri.

“Ideologi “Melayu malas” seperti ini perlu dibuang kerana ia adalah salah satu punca utama masalah prejudis dan diskriminasi di Malaysia,” katanya.

Oleh itu, jangan pelik sekiranya ada lagi kenyataan berat sebelah yang akan dikaitkan selepas ini kerana mereka ini sememangnya tidak berpuas hati untuk menganggu orang Melayu. – NTHQiBord, 22 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.