JIFFRIYA Ameer memangku suaminya yang mengalami kecederaan serius dengan darah membuak dari leher akibat tetakan pedang oleh puak Sinhalese. Ketiga-tiga anaknya hanya mampu memerhati ayahnya yang sedang nazak.

Dia menjerit meminta bantuan, tetapi tiga pegawai polis hanya melihat dan tidak memberikan bantuan sewajarnya. Satu-satunya kenderaan yang boleh membawa Saleem Ameer berusia 49 tahun ke hospital telah dibakar.

Kejadian serangan sebegini adalah rentetan konflik antara kaum dan agama selepas tragedi pengeboman di gereja beberapa bulan lalu.

“Sukar bagi saya untuk mempercayai orang ramai boleh melakukan perbuatan ganas itu,” katanya.

Pada 12 dan 13 Mei, penduduk Sinhala merusuh sekurang-kurangnya di 24 bandar di barat Sri Lanka, merampas dan menyerang harta Muslim dengan batu, pedang dan bom petrol.

Selain membunuh Ameer, mereka menyebabkan sekurang-kurangnya 14 umat Islam yang lain cedera, dan memusnahkan lebih daripada 540 rumah, kedai, masjid dan hampir 100 buah kereta Muslim, menurut penilaian oleh Zam Zam foundation, sebuah organisasi sosial tempatan.

Pihak berkuasa melaporkan bahawa rusuhan anti-Islam itu sebagai perbuatan balas dendam kerana pengeboman gereja bulan lalu yang didakwa didalangi oleh ISIS.

Pihak tentera berkawal di kawasan kediaman yang menghala ke rumah Ameer di Kottaramulla, kira-kira 60 kilometer di utara Colombo di barat Sri Lanka. Mereka adalah antara ratusan polis tentera dan tambahan yang telah dikerahkan ke kawasan ini sejak rusuhan anti-Islam berlaku. – 22 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.