PENUBUHAN Parti Putra yang diketuai oleh Ibrahim Ali dan kemudiannya Parti Negara di bawah Ezam Mohd Nor beberapa minggu lalu mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Parti Putra suda diluluskan pendaftarannya, sementara Parti Negara masih dalam proses permohonan.

Rata-rata rakyat menyifatkan kewujudan kedua-dua parti ini hanya menjadikan kuasa politik orang Melayu semakin lemah dan berpecah.

Namun, bagi Senator Tan Sri Ibrahim Abu Shah, kehadiran kedua-dua parti itu memberi kesan yang berbeza. Hal ini kerana parti Putra fokus kepada perjuangannya iaitu demi agama, bangsa dan negara.

“Secara asasnya Parti Putra berasal daripada Perkasa yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kalau mereka fokus kepada asas ini dan saya berharap mereka dapat bekerjasama dengan parti yang mempunyai prinsip yang sama,” kata Ibrahim.

Beliau berharap Putra dapat membantu dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan bukan memecahbelah. Hal ini kerana Parti Putra dan parti berasaskan Melayu yang lain ada kekuatan tersendiri.

“Saya rasa Ibrahim Ali tidak akan lari daripada asas perjuangannya. Jika dilihat daripada aspek politik saya harap parti lain dan badan bukan kerajaan Melayu dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara,” kata beliau.

Beliau berpendapat kehadiran Putra hanya akan memecahkan Melayu jika matlamat perjuangannya berbeza.

Namun, Ibrahim berbeza pendapat dengan penubuhan Parti Negara dibawah Ezam.

Menurut beliau Parti Negara tidak begitu jelas perjuangannya berbanding parti Putra.

“Secara umumnya kita mengetahui latar belakang kedua-dua parti ini. Putra di bawah Ibrahim Ali jelas memperjuangkan Melayu – Islam. Sementara Parti Negara di bawah Ezam, saya tidak pasti apakah prinsip perjuangannya.”

“Kalau diikutkan, latar belakangnya lebih kepada Azmin atau Anwar dan tidak jelas matlamatnya. Ini dibimbangi memecahbelahkan lagi orang Melayu,” kata beliau.

Menurutnya, yang penting dalam perjuangan ialah prinsip mesti jelas. – 22 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.