Aliran keluar dana asing dicatatkan keluar pada minggu kelapan apabila menjual saham tempatan bernilai RM1.18 bilion minggu lalu.

Paras yang tidak pernah disaksikan sejak Oktober tahun lalu.

Bursa Malaysia berhadapan dengan permulaan yang sukar minggu lalu berikutan pelabur global menjual saham bernilai RM288.6 juta pada Isnin lalu, kata MIDF Research dalam laporan mingguannya.

Tambah laporan itu, nada sama juga ditunjukkan pada hari berikutnya yang menyaksikan aliran keluar asing bersih sebanyak RM253.1 juta selepas China mengumumkan tarif ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$60 bilion berkuatkuasa 1 Jun ini.

“Kemelut perang dagangan itu semakin meningkat walaupun Presiden AS, Donald Trump dijadualkan berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping pada sidang kemuncak G-20 Jun ini. Bursa saham tempatan juga mengalami kesan apabila ditutup di bawah 1,600 mata buat pertama kalinya sejak September 2015.

“Bagaimanapun, paras aliran keluar asing bersih mengecil kepada RM91.6 juta pada Rabu, yang terendah dicatatkan pada minggu lalu. Pada Khamis, berlakunya lonjakan dalam jualan bersih asing mencecah sehingga RM371.7 juta.

“Kemelut perang dagang antara AS dan China telah menutupi sentimen positif dalam pasaran tempatan yang menyaksikan negara mencatat hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang melebihi jangkaan,” katanya dalam nota penyelidikan itu.

Tambah MIDF Research, aliran keluar asing bersih kembali perlahan pada Jumaat dengan jualan di bawah paras RM200 juta.

“Sebahagian daripadanya disebabkan peningkatan ekuiti AS semalaman selepas perolehan kukuh syarikat korporat seperti Walmart dan data perumahan pada April yang lebih baik daripada jangkaan,” katanya. – NTHQiBord, 22 Mei 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.