BEBERAPA hari lalu, tular cerita penangkapan lelaki yang dikatakan terlibat dalam kes membakar kereta Honda Accord milik Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dikatakan, lelaki yang melakukan jenayah itu ialah anggota unit Amal, salah satu unit di bawah PAS.

Kemudiannya, salah satu status dalam Facebook rasmi Mufti Perlis telah membuat komen sehingga menimbulkan polemik, apatah lagi kes masih lagi dalam siasatan polis.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyelar tindakan memuatnaik status itu yang cuba mengaitkan PAS dalam isu itu.

Apatah lagi status yang dimuatnaik dalam facebook Asri turut disertakan gambar tertuduh bersama Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Saya berpandangan bahawa tulisan di dalam laman yang dimiliki oleh Mufti Perlis ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab dan hanya ditulis oleh seorang yang tidak berakhlak.

“Bagaimana penulis ini boleh mengaitkan suspek yang ditahan dengan organisasi politik PAS sedangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis?” kata Ahmad Fadhli dalam suatu kenyataan.

Pada masa yang sama Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd meminta Asri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang membabitkan kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Perlis, tindakan Mufti Perlis itu boleh menimbulkan spekulasi liar, selain mengganggu siasatan pihak polis.

Pihak polis turut menasihati Asri bahawa adalah tidak sesuai untuk berkata sesuatu yang tidak pasti kesahihannya apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini.

Asri memadam status dan gambar yang dimuatnaik oleh “admin” dan meminta maaf.

“Untuk itu saya mewakili page ini memohon maaf jika ada persepsi yang salah diberikan sebelum laporan PDRM dikeluarkan berkaitan isu ini. Kita hendaklah menunggu kenyataan rasmi PDRM.

“Secara peribadi, saya percaya YB Presiden PAS dengan kedudukan beliau, tidak mungkin memberikan arahan jahat seperti itu. Pihak lain mungkin patut disiasat termasuk unit amal berkenaan,” katanya dalam facebook beliau.

Sudah tentu sebagai seorang yang dihormati kerana jawatannya dan ilmunya, Asri lebih faham soal menyebarkan sesuatu berita tidak benar.

Adakah dengan meminta maaf, kerosakan yang dibuat oleh “admin” beliau dapat mengembalikan isu tersebut kepada keadaan asal?

Walau bagaimanapun semua pihak perlu akur, bahawa kes ini wajar diserahkan kepada pihak polis menyelesaikan siasatan.

Jika terbukti benar, anggota unit Amal tersebut terlibat, mereka wajar dihukum. Tetapi bagaimana jika bukan? Adakah cukup dengan meminta maaf melalui facebook sahaja?

Tunggu sehingga kes ini selesai. – NTHQiBord, 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.