TEKANAN AS terhadap firma China seperti syarikat gergasi teknologi Huawei Technologies Co Ltd adalah buli ekonomi dan langkah untuk menghalang proses pembangunan negara, kata diplomat tertinggi kerajaan China.

“Penggunaan kuasa AS untuk menindas perusahaan swasta China, seperti Huawei, adalah buli ekonomi yang tipikal,” kata Menteri Luar Wang Yi dalam satu kenyataan.

Wang, yang juga ahli majlis China, juga berkata dalam satu lagi kenyataan bahawa Beijing sentiasa terbuka kepada Amerika Syarikat untuk rundingan perdagangan, tetapi ia tidak akan menerima apa-apa perjanjian yang berat sebelah.

Dua kuasa ekonomi terbesar di dunia telah meningkatkan kenaikan tarif ke atas import masing-masing selepas rundingan menemui jalan buntu untuk menyelesaikan perselisihan mereka, dan semakin meningkat sejak Washington minggu lepas menyenaraihitamkan peralatan telekom China dan syarikat telefon bimbit Huawei.

Sementara itu, pereka cip yang berpangkalan di Britain ARM berkata pada hari Rabu, ia mematuhi langkah AS untuk menyekat Huawei dari China untuk mengakses teknologi AS.

Huawei, seperti juga Apple dan pembuat cip seperti Qualcomm, menggunakan ‘blue print’ ARM yang berpangkalan di Cambridge untuk merekabentuk pemproses bagi telefon pintarnya, termasuk teknologi grafiknya

“ARM mematuhi semua peraturan terkini yang ditetapkan oleh kerajaan AS,” kata jurucakap ARM dalam satu kenyataan.

AS menyekat Huawei daripada membeli barangan Amerika minggu lalu, membahayakan hubungan dengan Google, yang menyediakan sistem operasi dan perkhidmatan Android seperti Gmail dan Peta Google, serta rakan kongsi perkakasan seperti ARM.

Rakan kongsi antarabangsa Huawei mula menjaukan diri dari syarikat China sehingga ada keputusan yang jelas daripada rakan teknologi AS yang turut menyediakan aplikasi dan perkhidmatan yang sangat penting bagi pengguna.

Sementara itu, peruncit telefon mudah alih di sesetengah negara Asia mula enggan menerima telefon jenama Huawei untuk dijual, kerana bimbang ketiadaan perisian Google.

Telefon Huawei baharu akan kehilangan akses kepada aplikasi popular seperti YouTube dan Chrome.

Atas faktor ini, pemilik telefon Huawei di Singapura dan Filipina telah bergegas menjual telefon mereka, menurut peruncit dan syarikat dalam talian.

“Jika kita membeli sesuatu yang tidak berguna bagaimana kita akan menjualnya?” kata Dylan On, seorang jurujual di Wanying Pte Ltd, sebuah kedai runcit dan baik pulih di Singapura.

“Bukan kerana Huawei produk yang buruk, ia adalah produk yang sangat baik, tidak ada yang mahu membelinya sekarang kerana dasar AS,” katanya.

Syarikat itu berkata ia sedang membangunkan perisian telefonnya sendiri dan ia masih boleh menggunakan versi “sumber terbuka” Android yang tidak mempunyai akses kepada aplikasi Google.

Carousell, syarikat jualan dalam talian yang paling popular di Singapura, berkata jumlah jualan telefon Huawei melebihi dua kali ganda pada hari AS mengumumkan dasar tersebut.

Peruncit telefon mudah alih di Filipina juga menjauhkan diri daripada produk Huawei.

“Kami tidak lagi menerima telefon Huawei kerana risiko tiada pembeli,” kata Hamida Norhamida, seorang penjual telefon baharu dan terpakai di pusat beli-belah Greenhills Manila kepada Agensi Berita Reuters, sambil menambah dia merasa lega selepas menjual semua stok Huawei P30 Pro sebelum pengumuman Google hari Isnin lalu.

Tetapi ada yang melihat ini sebagai peluang untuk mendapatkan telefon bermutu pada harga murah.

“Reaksi segera, saya bimbang Huawei saya sekarang tidak bernilai,” kata Xin Yi, pelajar berusia 24 tahun dari Singapura.”

“Tetapi Google berkata pengguna Huawei yang sedia ada tidak akan terjejas … Selepas itu, saya berasa lega.” – 23 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.