HASRAT Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang mahu mencontohi DAP dalam memperjuangkan nasib orang Melayu adalah satu ideolgi yang jelik, kata seorang kepimpinan tertinggi PAS.

Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, turut berkata sekiranya mahu mengikut cara DAP, PUTRA seharusnya berfikir secara rasional kerana negara ini dihuni oleh kepelbagaian bangsa.

Tambahnya, sedia maklum bahawa DAP adalah parti yang bersikap kuku besi di dalam memastikan pelaksanaan agenda perjuangan mereka sambil meminggirkan kaum lain.

“Dia hendak contohi DAP katanya, konon ada prinsip dalam soal mempertahankan ketulenan Melayu.

“Kita dalam konteks Malaysia ini kena ingat walaupun teras politik kita ini Islam Melayu tapi kita ini masyarakat majmuk.

“Perkara ini penting, kena beri kepada mereka (bangsa lain) sebab ada hak sebagai warganegara,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Ketika ditanya masa depan parti PUTRA, Idris bertindak menyoalkan kembali sejauh manakah parti itu mampu bertahan dan tidak retak.

Beliau menambah Perkasa diketahui adalah badan bukan kerajaan yang agresif dalam mengkritik mana-mana pihak yang berbeza pandangan dengannya.

Tidak ganjil sekiranya parti itu pula akan ada bibit perpecahan memadangkan mereka berada dalam kalangan kelompok yang lantang menyuarakan pendapat masing-masing, kata Idris.

“Adakah dia yakin bahawa PUTRA tidak berpecah pula , kalau atas dasar itu yang mereka rasakan benar. Sangat pasti PUTRA tidak akan retak?

“Perkasa sebelum ini pun memang agresif. Kita pun tahu,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut berkata bahawa walaupun PUTRA terdiri daripada gandingan nama-nama besar seperti presidennya Datuk Ibrahim Ali serta bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalid Yunus namun ianya bukan salah satu sebab pengukuhan sesuatu parti itu.

Malah beliau turut mengambil contoh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat gagal dalam meraih sokongan ahli partinya.

“Kita tengok parti macam PKR, ada ikon…Anwar Ibrahim itu pon kita tengok tidak ke mana, terutama di peringkat akar umbi.

“Tapi tetap juga tidak mendapat sokongan, hanya kelompok-kelompok kecil daripada dia sahaja.

“Walhal, pemimpinnya adalah ikon atau orang yang hebat dalam parti, cuba bayangkan pula parti-parti yang baru tubuh ini,” katanya.

Semalam,  Datuk Ibrahim Ali dalam sidang medianya memaklumkan bahawa PUTRA menggunakan pendekatan seperti DAP sebagai model politik untuk memperjuangkan agenda perjuangan Melayu dan bumiputera.

Tambahnya lagi, DAP memunjukkan prinsip jelas dalam perjuangan ideologi Malaysian Malaysia sejak dahulu lagi sehingga berjaya meraih 95 peratus sokongan padu daripada masyarakat Cina pada PRU lalu.

Ibrahim turut menegaskan atas tujuan ini PUTRA ditubuhkan pada 8 Mei lalu bukan bertujuan ingin memecahkan undi orang Melayu sebaliknya mempertahankan hak golongan tersebut tanpa bertolak ansur. – NTHQiBord, 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.