TRAGEDI politik berdarah di Jakarta mirip rusuhan Mei 1998 kembali berulang apabila penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan umum (Pemilu) 2019 yang memihak kepada Joko Widodo.

Sekurang-kurangnya enam terbunuh manakala 200 lagi cedera apabila penunjuk perasaan yang merupakan penyokong kepada calon Presiden nombor dua, Prabowo Subianto secara tiba-tiba bertukar ganas apabila mereka bertempur dengan pihak keselamatan.

Malah mereka bertindak melampau batas sehingga membakar asrama dan kenderaan polis.

Antara lokasi-lokasi yang menjadi sasaran penunjuk perasaan yang dinamakan Gerakan Nasional Kedaulatan Rakyat atau Protes 22 Mei adalah seperti Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

Selain itu, Protes 22 Mei dilapor merebak ke Pontianak yang menyaksikan penunjuk perasaan membakar tayar dan pondok polis dan kekecohan turut dilapor berlaku di Medan, Sumatera Utara.

Polis turut menemukan sejumlah wang berjumlah enam juta rupiah (RM1,728) daripada sejumlah penunjuk perasaan yang mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).

Malah, ketika diperiksa, penunjuk perasaan terbabit mengaku mereka dibayar untuk sengaja mencetuskan kekecohan dan rusuhan.

“Anggota polis menemukan sampul duit berjumlah enam juta rupiah (RM1,728) dan sesetengah penunjuk perasaan mengakui mereka dibayar pihak tertentu supaya mencetuskan kekacauan,” kata Ketua Polis Republik Indonesia (Polri), Tito Karnavian.

Selain itu, Ketua Divisyen Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal turut enggan mengesahkan dakwaan Gabernor Jakarta, Anies Baswedan yang pro-Prabowo bahawa enam orang terbunuh, 200 lagi cedera dalam rusuhan berkenaan dan mendakwa masih menyiasat perkara tersebut.

Katanya, hampir majoriti perusuh datang dari luar Jakarta antaranya dari Jawa Barat malah polis turut turut merampas sebuah ambulans tertera logo Parti Gerindra, sarat dengan muatan batu.

“Demonstrasi di beberapa tempat sejak lewat malam tadi sehingga awal pagi tadi, bukanlah “demonstrasi massa spontan” tetapi dilakukan oleh sekelompok kira-kira 200 orang secara terancang bagi menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jakarta antara pukul 11 malam tadi sehingga jam 5 pagi tadi, dengan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, bom petrol dan mercun kepada pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

M Iqbal berkata, polis bertindak menyuraikan perusuh de­ngan menggunakan gas pemedih mata, dan menafikan menggunakan peluru hidup, seperti yang tersebar dalam media sosial.

Beliau turut mengesahkan sebanyak 14 kenderaan dibakar perusuh dalam kejadian rusuhan pagi tadi, dan polis berjaya menangkap 100 perusuh terlibat.

Ekoran tunjuk perasaan itu, beberapa pejabat kerajaan dan sekolah terpaksa ditutup atas sebab-sebab risiko keselamatan manakala banyak jalan, pusat membeli belah, premis perniagaan turut ditutup.

Sehingga pukul 9.30 malam waktu tempatan, perhimpunan berterusan di pusat bandar dan bertukar tegang menjelang te­ngah malam. Lebih 50,000 anggota polis dan tentera berkawal di tempat-tempat strategik sekitar Jakarta.

Malah, pihak berkuasa melaksanakan sekatan sementara media sosial bagi mengekang sebarang penyebaran berita-berita palsu.

Sementara itu, keadaan di Jakarta dijangka kembali hangat esok selepas Badan Pemenangan Nasional (BPN) Parabowo Subianto dan Sandiaga Uno dijangka menyerahkan dokumen mencabar keputusan Pemilu 2019 di Mahkamah Perlembagaan.

Melihat keganasan itu, Prabowo menegaskan kepada penyokongnya supaya tidak menggunakan kekerasan, berlaku sopan dan saling menghormati.

“Hormatilah institusi undang-undang dan jangan sesekali menggunakan kekerasan. Penyokong saya perlu bertahan supaya tidak terjebak dengan perkara yang tidak sepatutnya demi bangsa dan negara,” katanya.

Jokowi pada masa sama menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang akan mengganggu keamanan negara terutama perusuh. – 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.