ISU matrikulasi menjadi panas selepas disentuh oleh Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin sebelum Bangsa DAP cuba ambil kesempatan untuk memansuhkan kuota ke institusi itu.

Kemudian tampil Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mempertahankan pelaksanaan kuota program matrikulasi ini, dan menyamakan isu ini dengan syarat fasih bahasa Mandarin yang dikenakan syarikat Cina.

Akibatnya, beliau menjadi sasaran serangan bertali-arus daripada DAP yang mahu Maszlee memohon maaf kerana kenyataan berbaur perkauman itu selain mempertikaikan program yang mula diperkenalkan pada tahun 1998 itu.

Bukan sahaja DAP, malah Gerakan dan MCA turut serta mengambil peluang menyerang salah satu daripada hak istimewa orang Melayu itu.

Bagaimanapun UMNO dan PAS serta sebahagian pimpinan Bersatu bangkit mempertahankan Maszlee dari terus menjadi mangsa kerakusan Bangsa DAP dan sekutunya.

Hairannya, dalam suasana tegang ini, tidak kedengaran pula suara bakal perdana menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Maszlee atau cuba menenangkan keadaan.

Bukankah Anwar merupakan pemimpin serba boleh dan mudah menyesuaikan diri dalam semua situasi seperti seekor sumpah-sumpah?

Jadi di sini timbul persoalannya, adakah polemik isu ini sebahagian daripada strategi beliau menyerang Mahathir secara senyap?

Mungkinkah Anwar berpakat dengan Maszlee untuk memberi tekanan kepada Mahathir agar melepaskan jawatan perdana menteri dengan segera?

Dalam politik, semua ini tidak mustahil. Untuk menjayakan agenda masing-masing, proksi akan digunakan untuk menyerang lawan secara tidak langsung.

Jadi dalam situasi ini, Anwar mungkin menggunakan Maszlee untuk menentang Mahathir dan isu matrikulasi hanya satu medan maya pertembungan antara kedua-dua pemimpin itu.

Jika Anwar secara langsung mempertahankan Maszlee, rakyat dapat melihat Anwar secara berbeza pendapat dengan Mahathir. Jadi atas sebab itu Anwar hanya mendiamkan diri buat masa ini.

Jika beliau bersuara, tentunya ini akan membenihkan kembali pertembungan antara mereka berdua seperti yang berlaku pada 1998. Jadi, pilihan terbaik ialah biarkan bidak-bidak berperanan di medan hadapan.

Anwar sedar, PKR mempunyai kerusi terbanyak dalam Pakatan Harapan. Namun kuasa terbesar masih berada dalam tangan Mahathir, walaupun kerusi Bersatu hanya 14 – tidak termasuk yang lompat parti.

Perlu diingat, Anwar pernah memujuk Ahli Parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat selepas PRU tahun 2008. Jadi tidak mustahil, Anwar mempunyai pakatan sulit dengan mana-mana ahli Parlimen lain.

Tentunya beliau tidak mahu kempunan lagi untuk menjawat Perdana Menteri. Jadi, Anwar mesti menggunakan segala taktik yang ada untuk melemahkan Mahathir.

Apatah lagi, baru-baru ini Mahathir memberikan gambaran bahawa beliau perlukan masa lebih daripada dua tahun untuk memulihkan Malaysia.

Oleh itu, Anwar tentunya tidak mahu sebarang pertembungan terbuka dengan Mahathir. Pasti beliau akan “checkmate” buat kali kedua.

Mahathir telah berjaya memenangi hati orang Melayu Islam dalam isu ICERD dan Statut Rom. Dan Anwar agak ketinggalan dalam hal ini.

Tentunya isu matrikulasi akan menjadi medan terbaik Anwar untuk menunjukkan bahawa Mahathir tidaklah begitu kuat “Melayunya”. Bagi Anwar, Mahathir perlu dineutralkan supaya imej Melayu itu tidak lekat pada Mahathir.

Kedua-duanya, Mahathir dan Anwar sedang menggerakkan bidak masing-masing. Adakah pertempuran terbuka buat kali kedua akan berlaku? Tiada siapa yang tahu. – NTHQibord, 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.