LIM Kit Siang dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa dia menarik diri daripada debat yang dirancang bakal berlangsung dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Lim, selepas beliau menerima pelawaan Najib untuk melakukan perdebatan tertutup itu dia menerima banyak nasihat daripada orang ramai untuk tidak meneruskan debat tersebut.

Tambahnya, sekiranya debat itu dilaksanakan dia khuatir ada pihak yang tidak bertanggunjawab memanipulasi keadaan ini menjadi satu konflik perkauman.

“Saya sedar yang keputusan saya ini akan disambut dengan pelbagai tuduhan yang saya ini adalah seorang penakut.

“Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat.

“(Tajuk debat) Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik.

“Saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” kata Lim dalam satu kenyataan media, petang tadi.

Sementara itu, Najib menerusi akaun rasminya berkata penyokong Pakatan Harapan (PH) bimbang sekiranya beliau akan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar ditapis oleh penasihat DAP itu.

Beliau turut menyindir dengan mengatakan bahawa debat itu tidak akan menggunakan wang rakyat.

“PH sepatutnya menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Kit Siang kerana dia sudah jadi bos DAP lebih dari 50 tahun.

“PH juga perlu tahu bahawa tidak ada seorang pun dipaksa untuk menonton debat ini dan debat ini tidak akan menggunakan sebarang wang rakyat.

“Dalam semangat demokrasi dan ketelusan, biarlah debat ini diteruskan dengan tajuk yang dicadang oleh DAP dan sudahpun dipersetujui oleh saya,” katanya.

Najib sebelum ini memberi cadangan untuk mengadakan debat susulan tindakan Lim yang sentiasa menyerangnya mengenai skandal 1MDB.

Pada mulanya veteran DAP itu menerima cabaran itu dan mencadangkan tajuk “Bagaimana Malaysia menjadi kleptokrasi global?” – NTHQiBord, 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.