SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14, selalu kita dengar ayat pembangkang ketika itu, ‘Najib dah jual negara kat China’.

Salah satu isu yang dikaitkan dengan China adalah projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebang, Pahang yang merupakan idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merangsang ekonomi negeri itu.

Namun seperti biasa, Pakatan Harapan(PH) ketika bergelar pembangkang memfitnah Najib kononnya bekas perdana menteri itu sudah menjual negara kepada China menerusi projek tersebut.

Pelbagai isu dimainkan PH termasuk pembinaan tembok, kewujudan kereta polis China dan pegangan saham untuk menunjukkan Najib benar-benar bersalah.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegaskan bahawa “Tembok Besar China Kuantan” harus diroboh.

Tapi hari ini, selepas PH menjadi kerajaan, tanpa rasa malu mereka mengaku bahawa projek tersebut sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan mereka memang memfitnah Najib.

Pemimpin Bangsa DAP, Nga Kor Ming baru-baru ini mengaku bahawa projek itu akan menarik pelaburan asing sebanyak RM12 bilion dan mencipta 20,000 peluang pekerjaan.

Pengakuan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga mengiktiraf usaha kerajaan BN, dan secara langsung juga mendedahkan fitnah-fitnah dan penghasutan yang digunakan PH dalam kempen mereka semasa PRU14 dahulu.

Pengerusi MCA Bahagian Indera Mahkota , Quek Tai Seong berkata, kesemua fakta ini pernah ditekankan oleh pemimpin-pemimpin BN dahulu, dan beliau berterima kasih kepada Kor Ming kerana memperakui keputusan dan pencapaian kerajaan BN.

Justeru itu, pemimpin-pemimpin PH seharusnya memohon maaf atas fitnah dan penipuan yang ditabur semasa kempen PRU14 dalam usaha mereka untuk menjatuhkan imej BN dan menghasut kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim turut memerli Kor Ming dengan berkata selaku penduduk di Indera Mahkota, beliau berterima kasih kepada Kor Ming dan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) kerana mengakui MCKIP mampu mengangkat jenama barangan buatan Malaysia ke persada antarabangsa.

“Kenyataan terbaharu Kor Ming ini ternyata memperakui idea hebat kerajaan terdahulu di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia baharu kerana sanggup membuat pusingan ‘U’ demi negara kerana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka memfitnah kerajaan terdahulu kononnya projek MCKIP ini akan menjual negara kepada China,” katanya.

Fitnah sudah menang! – NTHQiBord, 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.