POLIS hari ini menyerbu pejabat firma juruaudit Deloitte Malaysia di Kuala Lumpur dipercayai berkaitan siasatan kes 1MDB, lapor The Star.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID) menghantar sepasukan anggota ke pejabat Deloitte di Taman Tun Dr Ismail sejak tengahari tadi.

Tiada tangkapan dibuat setakat jam 3.15 petang tadi, namun polis menyita dokumen dan fail dalam serbuan itu.

Dilaporkan Deloitte telah mengaudit penyata kewangan 1MDB bagi 2013 dan 2014 sebelum menarik diri sebagai juruaudit pada 2016.

Deloitte merupakan juruaudit ketiga untuk 1MDB, selepas syarikat pelaburan negara itu menamatkan khidmat juruaudit terdahulu KPMG dan firma Ernst & Young.

SC kenakan denda maksimum 

Gergasi perakaunan Deloitte PLT pada 30 Januari lalu dikenakan penalti RM2.2 juta untuk empat pelanggaran yang melibatkan bon RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB), pada tahun 2014.

Denda yang dikenakan terhadap Deloitte itu merupakan jumlah maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang kerana gagal menjalankan tugas berkanunnya berhubung kedua-dua perkara berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), Deloitte adalah sebagai juruaudit berkanun BMSB dan syarikat induk 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) bagi tahun fiskal yang berakhir 31 Mac 2015 hingga 2016.

“Deloitte didapati telah melakukan dua pelanggaran di bawah Seksyen 276 (3) (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana kegagalan untuk segera melaporkan penyelewengan kepada SC yang mungkin mempunyai kesan material ke atas kemampuan BMSB memenuhi kewajipannya dalam membayar balik kepada pemegang sukuk apa-apa amaun di bawah Program Sukuk Murabahah.

“SC mendapati pelanggaran yang dilakukan oleh Deloitte adalah serius,” kata suruhanjaya itu.

SC berkata laporan juruaudit bebas Deloitte untuk 1MDB RE bagi tahun 2015 dan 2016 menyatakan bahawa firma itu tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dan bersesuaian untuk menentukan sama ada wang pendahuluan kepada 1MDB, antara lain, hasil jualan bon itu boleh diperolehi semula.

Laporan kedua-dua firma 1MDB RE dan BMSB untuk kedua-dua tahun itu juga menyatakan bahawa “siasatan berterusan 1MDB menunjukkan wujudnya ketidakpastian material yang memberikan keraguan signifikan berhubung kemampuan kumpulan dan syarikat untuk terus beroperasi”. – 23 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.