DESAKAN pihak tertentu terutama daripada DAP yang mahukan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan disifatkan sebagai tindakan bodoh, kata Khalid Ismath.

Menurut Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), walaupun DAP menyangkal bahawa mereka terlibat dengan gerakan itu, namun masyarakat mengetahui parti itu yang mencetuskan desakan mahu Maszlee disingkirkan dalam barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya desakan itu adalah desakan yang boleh dikatakan bodoh oleh kumpulan DAP ini.

“Walaupun mereka menafikan itu adalah idea daripada mereka tetapi kita tahu dalamnya ada orang DAP.

“Perkara ini berkait rapat dengan konflik antara DAP yang diwakili oleh Teo Nie Ching dan Maszlee,” katanya ketika ditemui pada sesi wawancara di studio Nothing To Hide, semalam.

Tambah Khalid, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu seolah-olah hanya boneka di Kementerian Pendidikan kerana timbalannya, Teo Nie Ching yang mengawal keseluruhan perbelanjaan yang diagihkan ke sekolah-sekolah.

Katanya, Maszlee sekarang ini dalam keadaan tersepit di dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu namun terpaksa akur kerana kementerian dikawal oleh puak DAP ketika ini.

“Dia sekarang macam tidak ada kuasa dalam kementerian dia sendiri.

“Perkara ini jelas apabila Teo Nie Ching dan Lim Guan Eng secara suka hati ke sana sini menggunakan nama kementerian memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah Cina yang sudah sedia kaya.

“Ada penghawa dingin (sekolah Cina)..sekolah kebangsaan tidak ada benda itu, malah beri sumbangan beratus ribu malahan juta (sekolah Cina).

“Maszlee dalam keadaan tersepit dan terhimpit tapi malang sekali sebab dialah yang membela DAP pada suatu ketika dahulu.

“Hingga ada ura-ura katanya dia mahu sertai DAP,” ujarnya.

Menurut Khalid, kenyataan yang diberikan Maszlee sebelum ini yang mengatakan bahawa orang bukan Cina sukar mendapat pekerjaan kerana tidak fasih berbahasa Mandarin adalah satu bentuk diskriminasi disifatkan sebagai menjaga hati penyokong PH terutama dalam kalangan orang Melayu.

Malah katanya tindakan Maszlee itu bertujuan menjernihkan keadaan kerana kerajaan PH sekarang ini tidak membela nasib masyarakat Melayu dan Bumiputera.

Satu perkara yang menjengkelkan apabila sejak Maszlee didesak untuk meletakkan jawatan tidak ada seorang daripada pemimpin PH yang membela bekas pensyarah itu.

“Walaupun dia dalam keadaan itu, dia cuba hendak pulihkan keadaan supaya rakyat memandang PH tidak hanya pro kepada pendidikan Cina.

“Maszlee hendak baiki keadaan itu tapi malang sekali dia tidak dipertahan oleh rakan-rakan dalam PH terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mereka sebenarnya hendak menjaga hati pengundi bukan Melayu,” ulasnya.

Maszlee sebelum ini dikritik hebat oleh pemimpin DAP termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr. P. Ramasamy.

Perkara ini berikutan kenyataan beliau yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempersoal tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin untuk berkerja di sektor swasta.

Chang Kim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mengkritik Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebagai tiada bezanya dia dengan pemimpin UMNO.

Malah tiga minggu lalu, satu petisyen diwujudkan oleh individu bernama Stephen Ng bagi mendesak Perdana Menteri memecat Maszlee yang kini telah berjaya mengumpul 48,000 tandatangan. – NTHQiBord, 24 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.