PEGUAM Izzat Muhtar yang mewakili Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Dato’ Azwanddin Hamzah mempersoalkan kecelaruan dan kesediaan pasukan pendakwaan dalam membawa prosiding kes melibatkan anak guamnya itu.

Ini kerana pihak pendakwaan gagal menyediakan kertas siasatan kepada Mahkamah Majistret Klang hari ini bagi mempercepatkan proses perbicaraan kes ugutan jenayah yang dihadapi oleh Azwanddin.

Pada 24 April lalu, Azwanddin, 46, didakwa di dua Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan mengaibkan seseorang, hujung tahun lalu.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, Izzat berkata, pihak pendakwaan menyerahkan dokumen defendan dan peguamnya sebelum memohon tarikh pengurusan kes.

Bagaimanapun Izzat membantah penetapan tarikh pengurusan kes kerana pihak pembelaan sudah bersedia untuk perbicaraan kes dan memohon tarikh perbicaraan diadakan pada bulan Julai.

“Saya agak terkejut apabila kami meminta kes dibicarakan dengan lebih cepat pada bulan Julai tetapi mahkamah menetapkan tempoh yang lebih lama iaitu pada bulan November.

“Kami dimaklumkan alasannya bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai kertas siasatan lengkap untuk diberikan kepada mahkamah,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Mengulas soalan sama ada kelewatan perbicaraan kes itu disengajakan, Izzat berkata, beliau tidak mahu ambil tahu tetapi menegaskan pihak pendakwaan tidak bersedia dalam prosiding hari ini.

“Malah mereka pun tidak tahu siapa pendakwa raya yang akan mengendalikan kes ini. Ini menunjukkan pihak pendakwaan bercelaru dan tidak bersedia untuk kes ini,” katanya.

Situasi yang dihadapi oleh Azwanddin sama seperti kes Datuk Seri Najib Razak apabila peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan isu yang sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Julai tahun lalu.

Pada ketika itu, Shafee menyifatkan pasukan pendakwaan yang diwakili Peguam Negara Tommy Thomas mungkin masih mencari bukti penyelewengan kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

“Kami minta Februari dan Mac untuk perbicaraan, kami mahu lagi awal kalau boleh tetapi yang peliknya orang yang tuduh tak sedia.

“Mungkin masih lagi meraba-raba cari bukti, kami tak tahu,” katanya. – 24 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.