SEJAK beberapa minggu ini hangat diperdebatkan tentang isu kuota matrikulasi. Yang paling kuat bersuara ialah DAP terutamanya dalam menghentam Menteri Pendidikan yang mempertahankan dasar tersebut.

Senator Datuk Husain Awang daripada PAS menjelaskan bahawa isu seperti matrikulasi ini bukanlah suatu isu besar jika semua pihak memahami serta menghormati kontrak sosial, suatu elemen penting dalam pembentukan negara ini. Malah, sejak dari awal, kontrak sosial tidak hanya dipersetujui hanya melalui sebelah pihak iaitu Melayu sahaja. Ia turut melibatkan pemimpin dari bangsa yang lain.

Benar, isu ini amat jelas dan terang kecuali kepada pihak yang mahu mengambil kesempatan politik dan tidak mengenang budi seperti DAP.

Mereka seolah-olah tidak faham sejarah, tidak mahu belajar sejarah atau sengaja bersembunyi di sebalik fakta sejarah?

Kontrak sosial ini kemudian diperkuat dengan pindaan dalam seksyen 3(1)(f) perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Jika DAP bersungguh mempertikai kontrak sosial ini, bagaimana pula dengan sistem pendidikan yang pelbagai aliran?

Senator Husain berpandangan kesemua kemelut yang tidak perlu ini lahir daripada “kepelbagaian” aliran utama dalam sistem pendidikan negara sehingga menghalang kepada pemahaman terhadap konsep ketatanegaraan, apatah lagi mencapai nilai kesepaduan dalam negara yang berbilang bangsa.

Sanggupkah DAP menutup semua institusi pendidika berasaskan Cina dan kesemuanya akan mengikuti pendidikan aliran kebangsaan? Pastinya DAP akan melenting jika isu ini dibangkitkan.

Ini jelas menunjukkan sikap hipokrit mereka yang sentiasa mahu hak orang lain tetapi hak sendiri pantang diusik walau sejengkal!

Lihat sahaja sesetengah iklan pekerjaan yang meletakkan syarat “berbahasa mandarin”.

Ini kerana kedua-duanya menampakkan perbezaan dan ketidakseimbangan yang jelas. Malangnya, pihak yang mendedahkan ketidakseimbangan yang berlaku pula dituduh bermain sentimen perkauman.

Senator Husain menyatakan bahawa menyokong pengekalan kuota ini tidak pula bererti seseorang itu rasis serta bersifat tidak adil kepada pihak lain. Dasar pendidikan kepada semua tidak wajar dipinggirkan pihak Kerajaan. Itu semua hanya sentimen palsu yang dimainkan oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan keadaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

Malah sebenarnya, isu kuota matrikulasi bukanlah satu-satunya cubaan DAP “melanggar” keharmonian negara dan tidak menghormati masyarakat Melayu, Islam dan bumiputera.

Sebelum ini mereka telah cuba melalui ratifikasi ICERD, pengiktirafan UEC, Statut Rom dan sebagainya. Mujurlah setakat ini, majoriti rakyat Islam, Melayu dan bumiputera segera membantah.

Semua yakin pendidikan adalah nadi penyatuan negara bangsa, namun usah sesekali lupa bahawa neraca pendidikan yang dimaksudkan adalah dirujuk kepada bahasa kebangsaan yang satu, budaya serta nilai sejarah yang sentiasa dipelihara.

Persoalannya, adakah neraca pendidikan yang menjadi titik asas kesatuan dilindungi di negara ini? – 25 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.