ANGGOTA Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berpeluang untuk naik pangkat dengan lebih cepat asalkan mereka mampu menahan nafsu menolak rasuah.

Tawaran itu dikemukakan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagai ganjaran kepada anggota keselamatan yang menolak rasuah.

Ini merupakan usaha baik dilakukan oleh Abdul Hamid bagi memulihkan imej dan reputasi PDRM selain mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap pasukan keselamatan ini.

Menurut Abdul Hamid, beliau dimaklumkan bahawa anggota PDRM menolak cubaan menyogok mereka di sempadan Kelantan-Thailand beberapa minggu lalu.

“Saya menerima banyak laporan daripada anggota keselamatan yang bertugas di sempadan negara ketika membuat lawatan di Kelantan pada dua hari lepas mengenai cubaan beberapa pihak untuk menyogok anggota untuk melepaskan mereka daripada pemeriksaan.

“Jadi saya harapkan ada banyak lagi tindakan sebegini diambil oleh pegawai dan anggota kita di masa akan datang,” katanya.

Ganjaran itu ditawarkan susulan rasa kecewa Abdul Hamid terhadap salah laku anggotanya seperti yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan dan ibu negara.

“Sedih dalam bulan Ramadan ada kes ‘ajaib’ yang sanggup dilakukan anggota yang tidak bertanggungjawab seperti merompak pengurup wang serta bersubahat dengan penyeludup mercun.

“Jabatan Siasatan Jenayah telah bertindak dengan cepat, pasukan tidak akan memberi ruang dan akan mengambil tindakan keras kepada mereka yang terlibat, mereka sudah ditangkap dan direman, kita takkan tolak ansur,” tegasnya.

Tambahnya, beliau sudah memberi amaran kepada semua warga PDRM untuk memutuskan hubungan yang mereka jalinkan dengan mana-mana sindiket judi dan maksiat.

“Arahan untuk menghentikan amalan membazir juga sudah dikeluarkan… tidak ada lagi desakan untuk orang bawahan cari tajaan dan sebagainya bagi memuaskan hati pegawai atasan.

“Saya menyerulah kepada sindiket-sindiket judi dan maksiat, negara ini kaya dengan sumber alam semula jadi usahakanlah, buat kerja yang halal dan kepada warga PDRM selagi belum pakai baju jingga, belum terlambat untuk berpatah balik,” ujarnya. – 25 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.