GOLONGAN pemandu teksi akan menolak Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

Itu ikrar yang dilaungkan oleh Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail selepas meluahkan rasa kecewa dengan kerajaan baharu.

Shamsubahrin ketika memberitahu sebuah portal, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook gagal menjaga kebajikan industri itu selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Mana tidaknya, Shamsubahrin berkata ramai pemandu teksi mengeluh tiada lagi bantuan oleh kerajaan.

Bukan itu sahaja katanya, kerajaan PH juga gagal menunaikan janji untuk memulihkan industri teksi, termasuklah mengenakan syarat sama rata kepada pemandu e-hailing.

Walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) terpalit dengan isu rasuah, Shamsubahrin berkata masih ada bantuan diberikan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya tidak berminat nak buat perbandingan sangat sebab kita faham kerajaan dalam masalah, tetapi nampak ketara sangat. Zaman BN kita tahu ada rasuah, tapi mereka bantu juga pemandu teksi. Salah mereka sebab tidak batal Uber dan Grab itu sahaja.

“Zaman BN paling tidak kita dapat sikit, kalau tidak duit tunai, kita dapat baucer minyak, baucer tayar, tapi zaman PH ni langsung tidak dapat apa-apa,” katanya kepada sebuah portal tempatan.

“Jangan cakap nak dapat duit, ajak buka puasa pun tidak dapat. Sekarang nak jemput menteri susah. Bukan kita suruh kerajaan keluar duit, kita yang akan keluar duit,” kata beliau.

Berkenaan isu e-hailing, Shamsubahrin berkata pemandu teksi tidak lagi membuat demonstrasi kerana termakan janji Loke pada Disember tahun lepas apabila beliau berjanji tidak akan menghampakan dan menghancurkan industri teksi.

Seperti biasa, kerajaan membuat pusingan-U apabila Loke berkata pemandu e-hailing tidak perlu tukar status kenderaan persendirian, sekali gus mengecewakan Shamsubahrin dan golongan pemandu teksi.

“Ini jelas menunjukkan menteri tiada prinsip dan kita tidak tahu apakah hala tuju Kementerian Pengangkutan berhubung industri teksi,” katanya.

Disebabkan sudah rasa tertipu dengan janji manis PH, Shamsubahrin dan 80,000 pemandu teksi berikrar menolak kerajaan PH seperti pernah dilakukan terhadap kerajaan BN jika nasib industri teksi terus dianaktiri.

“Kami bukan ugut tapi apakah pilihan yang kami ada? Berbincang cara baik sudah, bersabar sudah, tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa,” katanya. – 25 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.