KRITIKAN Marina Mahathir yang mempersoal tindakan pihak berkuasa menangkap orang yang tidak berpuasa adalah suatu yang dikesali.

Apatah lagi, pemikiran sebegitu datang daripada individu yang beragama Islam.

Sebelum mengeluarkan kenyataan  dia sepatutnya semak dulu dengan golongan agamawan, kerana setiap penguatkuasaan yang dilakukan adalah berlandaskan kepada agama.

Kalau ego sangat tidak mahu rujuk dengan agamawan lain yang dia rasakan tidak sealiran, dia boleh sahaja bertanya kepada golongan berilmu yang mungkin berpihak kepadanya.

Ini tidak, secara melulu mengkritik sambil membezakan Malaysia dengan negara Barat.

Sekiranya dilihat kembali kenyataan Marina sebelum ini, dia memang secara terbuka menyokong perkara yang secara jelas bertentangan  dengan hukum agama Islam.

Lihat sahaja bagaimana dia menyokong untuk hak kesamarataan terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), sedangkan Malaysia menolak golongan itu di negara ini.

Berbalik kepada isu tangkap orang tidak berpuasa, penguatkuasaan ini dilakukan untuk mengekang segelintir orang yang tidak berpuasa.

Tujuannya adalah untuk memastikan syiar agama Islam ini terus terjaga.

Jika dibiarkan sahaja puak-puak ini makan tanpa segan silu, apa akan jadi kepada nilai moral masyarakat?

Keadaan persekitaran yang menitik beratkan berkenaan agama akan memberi impak positif kepada perkembangan usia remaja.

Berbanding sekiranya mereka dibesarkan dengan masyarakat yang tidak berlunaskan kepada prinsip agama, amat pasti negara ini suatu hari nanti akan lari daripada nilai agama yang sebenar.

Menurut Ustaz Ismail Mina, perbandingan yang dilakukan Marina dengan masyarakat di negara Barat adalah salah kerana negara ini mempunyai peraturan yang tersendiri.

“Kita cegah benda itu supaya tidak merebak,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord, baru-baru ini.

Tambah Timbalan Presiden Institut Pemikiran Islam (IPTI) itu, pemikiran Marina ini sememangnya pelik dan bertentangan dengan hukum syarak Islam.

Beliau turut menyarankan Marina untuk belajar agama Islam semula sebelum mengkritik sebarang pelaksanaan undang-undang daripada pihak penguatkuasa agama.

“Pemikiran dia bercanggah dengan syarak dan menyalahi prinsip agama.

“Saya sarankan dia untuk pergi belajar agama balik,” ujarnya.

Baru-baru ini, aktivis masyarakat itu bertindak mempertikai tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menyamar sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.

Katanya tindakan itu menunjukkan seolah-olah orang Islam yang tinggal di Barat mempunyai pegangan agama yang kukuh kerana tidak diintip oleh pihak berkuasa agama di sana. – NTHQiBord, 26 Mei 2019.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.