BEBERAPA hari lalu, tersiar berita di akhbar tempatan tentang kisah penguatkuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menyamar sebagai pekerja kedai makan bagi menangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Yang Dipertua MPS Mohd Masni Wakiman melakukan perancangan itu dengan teliti termasuk memilih mereka yang ada ciri-ciri “pekerja kedai”mamak yang sebenar.

Gambar-gambar pelaku yang tidak berpuasa itu akan dirakam dan kemudiannya diserah kepada Majlis Agama Islam Segamat untuk tindakan selanjutnya.

Namun berita yang disiarkan akhbar berkenaan mendapat reaksi negatif netizen. Rata-rata mereka mengecam tindakan itu.

Ada netizen yang mengatakan adalah lebih baik MPS menggunakan anggotanya mencari orang miskin untuk dibantu daripada bersusah-susah mengintip orang yang tidak berpuasa.

Ada juga yang mencadangkan agar semangat yang sama ada untuk membentras jenayah atau maksiat lain. Bagi sesetengah netizen mempersoalkan adakah anggota terbabit sudah tidak kerja lain yang mahu dibuat?

Selepas mendapat komen-komen negatif, MPS pada hari yang sama berita itu tersiar diakhbar mengeluarkan kenyataan media menafikan bahawa mereka tidak pernah melakukan operasi yang sedemikian.

Juga menafikan Yang Dipertua MPS mengeluarkan kenyataan seperti yang disiarkan akhbar terbabit.

Jika benar MPS tidak ada kena-mengena dengan kejadian tersebut, siapakah mereka yang dikatakan anggota penguatkuasa yang katakan menyamar? Siapa yang memberi arahan supaya menyamar dan mengambil gambar pesalah?

Bagaimanakah sebuah akhbar utama dapat memetik kenyataan media daripada YDP MPS? Adakah akhbar ini berbohong?

YDP MPS, Mohd Masni berhak menyaman akhbar terbabit atau meminta mohon maaf jika dia di pihak yang benar

Atau wujudkah agenda sulit untuk memalukan YDP MPS dan orang Islam? Perlu diingat, separuh daripada ahli majlis MPS terdiri daripada bukan Islam.

Dalam keadaan umat Islam dan bumiputera hari ini diperlekeh dan dihina agamanya tidak mustahil semua itu dilakukan.

Sebelum inipun Tuanku Sultan Johor murka apabila ada ahli politik bukan Islam berucap dalam dewan utama solat.

Banyak lagi persoalan yang belum terjawab dalam era pemerintahan baharu DAP-PH hari ini khususnya dalam konteks Johor. – 26 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.