KALI pertama Lim Kit Siang mencabar Datuk Seri Najib berdebat Julai tahun lalu. Kemudian kurang daripada seminggu yang lalu lagi sekali Kit Siang mencabar Najib untuk berdebat. Kedua-dua cabaran debat tajuknya dipilih oleh Kit Siang.

Namun, untuk cabaran kali ini Kit Siang menarik diri atas pelbagai alasan termasuk bimbang mencetuskan konflik perkauman.

Yang menariknya, di sebalik cerita debat terbuka yang tidak jadi itu ialah bagaimana sebahagian pemimpin politik yang bersikap hipokrit.

Seminggu sebelum itu kecoh satu negara tentang isu matrikulasi. Apabila Dr Maszlee mempertahankan kuota kemasukan Melayu bumiputera ke matrikulasi, beliau di serang kiri dan kanan oleh DAP, Gerakan dan juga MCA.

Ironinya, yang banyak mempertahankan Maszlee ialah UMNO, PAS dan Bersatu mewakili suara Islam, Melayu dan bumiputera.

Tidak pula kedengaran suara-suara Melayu bumiputera daripada PKR, jauh sekali Amanah. Jika adapun sayup-sayup dari kejauhan. Itu begitu bersopan santun.

Seolah-olah begitu takut dengan bos besar mereka – DAP. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini bersungguh-sungguh mahu menjaga agama dan bangsa, tiba-tiba menjadi tikus peliharaan.

Suara-suara daripada pihak rahmatan lil-alamin antara dengar atau tidak. Ibarat ada tidak menambah, tiada tidak mengurang.

Begitu berbeza apabila Kit Siang tidak jadi berdebat dengan Najib. Tiba-tiba sahaja Anwar bertindak memuji sikap dan pendirian Kit Siang sebagai betul dan tepat. Agaknya Bang Nuar baru keluar dari gua.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut memberi komen apabila ditanya tentang dirinya bolah menggantikan Kit Siang. Katanya, dia tidak mahu berdebat dengan orang yang bakal ke penjara.

Tentunya, jika Mohamad bersetuju berdebat, dia bakal menjadi “lauk” Najib. Dalam isu matrikulasi, Presiden Amanah ini tidaklah segarang ketika dalam PAS dahulu di pentas-pentas ceramah.

Wajarlah rakyat membuka mata bahawa siapa bos sebenar dalam Pakatan Harapan. Pada ketika bos mereka dan partinya menyerang Maszlee secara marathon dalam isu matrikulasi, mereka hanya mampu menundukkan kepala.

Tetapi apabila bos mereka cabut lari daripada debat terbuka, barulah masing-masing bersuara memuji akan “keberanian” bos mereka.

Rakyat patut sedar, pemimpin Melayu seperti mereka tidak layak diberikan kuasa untuk mempertahankan tanah air ini. Mereka lebih sayangkan jawatan daripada mempertahankan hak bangsa sendiri. Cita-cita peribadi diutamakan, sedangkan rakyat ditipu hidup-hidup kerananya. – 26 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.