KRITIKAN mahupun perang saraf antara Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dengan DAP nampaknya semakin seronok untuk ditonton oleh penggemar politik di Malaysia.

Perang saraf ini tercetus apabila Maszlee Malik membidas pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota matrikulasi bukan Bumiputera.

Dalam kenyataannya, Maszlee membangkitkan isu hak keadilan untuk memastikan Bumiputera juga berhak mendapatkan peluang pekerjaan tanpa ada syarat seperti berkebolehan berbahasa Mandarin.

Jika benar mahukan matrikulasi ‘diubah’ seperti gesaan pihak-pihak tertentu.

Melihat kenyataan ini, sewajarnya ia dipuji kerana Maszlee memberikan satu kenyataan yang rasional dengan keadaan semasa yang dihadapi golongan remaja zaman kini.

Tetapi apabila isu ini semakin viral, timbul pula tanda tanya besar.

Susulan daripada kenyataan Maszlee Malik ini telah mengundang kritikan dan kecaman oleh ramai pihak termasuk ahli politik.

Lawak jenaka PH

Antara ahli politik yang tegar mengkritik Maszlee Malik ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP merangkapTimbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Walau bagaimanapun, apabila dilihat dari sudut yang berbeza semua ini seolah-olah lawak jenaka yang cuba direka oleh Pakatan Harapan sendiri kerana mereka bergaduh sesama sendiri iaitu terdiri daripada blok kerajaan.

Walhal awal-awal lagi sebelum isu ini menjadi semakin panas, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin ada mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan menjatuhkan maruah matrikulasi dengan menyatakan bahawa sekarang program matrikulasi sudah tidak relevan dan boleh dihapuskan.

Jadi kenapa apabila ada pihak tertentu yang mempersoalkan kelonggaran kuota Matrikulasi, Maszlee Malik baru mahu mempertahankannya? Kenapa tidak awal lagi mempertahankan maruah matrikulasi tatkala mula-mula Daim Zainuddin mengeluarkan kenyataan seperti itu?

Mereka bantah, mereka hero

Agak tidak munasabah apabila mereka (Pakatan Harapan) yang umum, mereka yang membantah dan mereka jugalah menjadi hero.

Sedangkan boleh sahaja isu ini dibincangkan dan diselesaikan dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan.

Malah kita pun tahu Timbalan Menteri Pendidikan dari parti DAP maka mudahlah untuk duduk berbincang mengenai perselisihan faham yang berlaku antara Maszlee Malik dengan anggota DAP. Lebih penting lagi, sebarang keputusan adalah di bawah kuasa mutlak Menteri jadi tidak perlu rasanya isu ini semakin diperbesar-besarkan dalam media sosial.

Atau ia sememangnya sengaja dilakukan untuk mendapatkan perhatian umum?

Kononnya orang-orang Melayu dalam Pakatan Harapan ini bersungguh-sungguh memperjuangkan hak orang Melayu dan bukannya hanya pandai mengikut telunjuk DAP sahaja seperti yang didakwa selama ini.

Bayangkan manifesto pun Pakatan Harapan tergamak menipu rakyat semata-mata untuk mendapat sokongan.

Ini pula perkara-perkara seperti ini yang langsung tidak nampak sebarang keseriusan untuk kerajaan Pakatan Harapan selesaikan.

Kelirukan rakyat

Jadi tidak mustahil perkara ini sebenarnya direka dan dirancang semata-mata untuk mengelirukan rakyat sahaja.

Ingatlah mereka akan melakukan apa sahaja demi mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Kerana kajian juga sudah membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini semakin menurun.

Jadi yang mana dari blok pembangkang itu usahlah tertipu dengan permainan politik mereka ini dan jangan sesekali terpedaya dengan tipu helah DAP dan Pakatan Harapan.

Malah kepada mereka yang sibuk membela Maszlee Malik teruskan sahaja kerana saya yakin pada akhirnya perkara ini akan menyepi seperti kejadian-kejadian sebelum ini. – 26 Mei 2019.

DHIA HANI,
Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandanganNTHQiBORD*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.