SELEPAS persatuan pemandu teksi ancam tidak undi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang, kerajaan PH masih berani menabur janji untuk membela nasib golongan itu.

Sebelum ini, Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail yang mendakwa rata-rata pemandu teksi menyuarakan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan PH kerana gagal menjaga kebajikan mereka selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar berkata kerajaan PH tidak meminggirkan kebajikan pemandu dan pengusaha teksi serta telah memberikan bantuan sewajarnya, yang tidak kurang daripada apa diterima daripada kerajaan sebelum ini.

“Dalam kita mempertimbangkan operasi e-hailing, sudah tentu pertimbangan kita adalah untuk mempastikan bahawa kebajikan pemandu dan pengusaha teksi tidak terjejas dan terabai.

“Tetapi kita sudah tentulah tidak dapat menafikan oleh kerana adanya Grab ini, akan ada pertambahan jumlah perkhidmatan teksi e-hailing, dan ia menjadikan perkhidmatannya kepada rakyat lebih baik kerana mudah untuk rakyat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Kamaruddin yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak berkata langkah pihaknya mengenakan syarat yang ketat terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing pada masa ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, ia juga menunjukkan kerajaan PH tidak memberikan kelebihan kepada penyedia perkhidmatan e-hailing berbanding pemandu dan pengusaha teksi. – 26 Mei, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.