SELEPAS setahun kerajaan DAP-PH mengambil alih kerajaan Pusat, keadaan kontraktor bumiputera dalam keadaan tenat.

Dalam tempoh tersebut tiada sebarang tender dan projek dikeluarkan. Hal ini menyebabkan sebahagian kontraktor bumiputera kelas F tidak mampu berdaya saing dan akhirnya tidak menyambung lesen.

Demikian kata Presiden Persatuan kontraktor Bumiputera kelas F Malaysia (PERKOBF) Tukiman Radion dalam suatu sesi wawancara.

Bagi mengatasi kemelut ini, pihak persatuan telah berjumpa dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan mengemukakan tujuh tuntutan. Daripada jumlah itu empat dipersetujui oleh Guan Eng.

Antara tuntutan yang mendapat perhatian Guan Eng ialah tiadanya campur tangan orang-orang politik dalam pemberian tender.

Kerja-kerja ubahsuai rumah mestilah dilakukan oleh kontraktor yang berdaftar. Persatuan tidak mahu kontraktor asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen sah diberikan hak tersebut.

Arahan perbendaharaan 182 iaitu kerja-kerja di jabatan kerajaan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diagihkan kepada kontraktor secara undian.

Bagi Tukiman, hanya melalui cara undian pembahagian kerja lebih telus.

Tukiman mendakwa jika melalui sebut harga, akan berlaku permainan dalaman oleh penjawat awam yang terlibat dalam pemberian tender.

Pemberian secara sebut harga akan dimanipulasi oleh kontraktor tertentu yang menggunakan banyak syarikat, tetapi semasa membuat kerja-kerja dilakukan oleh orang yang sama.

Ketika ditanya tentang selepas setahun DAP-PH memerintah, hanya selepas setahun barulah keluar sebut harga kerja-kerja dan sedikit undian.

Tetapi bagi beliau suasana lebih teruk. Sebagai contoh, beliau sendiri bertanding dalam 20 tender yang dilakukan secara sebut harga. Tiada satu pun yang berjaya.

Beliau mendakwa dalam kaedah sebut harga, kontraktor yang kenal dengan pegawai awam terlibat selalunya akan memperoleh projek tersebut.

Sehingga kini, persatuan ini sekurang-kurangnya menjadi medan ahli mengadu nasib. Beliau memberi contoh bahawa selepas PRU 14 lalu, ramai ahlinya tidak mendapat bayaran selepas enam bulan projek selesai. Selepas membuat aduan, kontraktor mendapat bayaran dua bulan selepas itu.

Persatuan kontraktor Bumiputera kelas F Malaysia ditubuhkan pada tahun 1997. Peringkat awal hanya peringkat Kuala Lumpur sahaja.

Kemudiannya, atas desakan kontraktor bumiputera lain, persatuan ini dikembangkan ke seluruh Malaysia pada tahun 2012 dengan keahlian terkini 26,449. – 26 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.