ANGKARA aktiviti berpolitik dalam masjid dan surau, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Baginda mengarahkan pihak berkuasa agama itu menyiasat tiga program di masjid dan surau di negeri ini, yang dianjurkan atas nama parti politik, serta penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Program itu ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei dan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor, pada 22 Mei.

Baginda turut menitahkan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin melakukan siasatan lengkap ceramah berkenaan untuk dipersembahkan kepada baginda.

Titah demikian dibuat berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Sultan Perak hari ini, memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

“Baginda tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

“Baginda juga menegaskan agar parti politik tidak menjemput penceramah untuk menyampaikan ceramah agama di negeri ini tanpa terlebih dahulu mendapatkan tauliah berceramah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

“Jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran pihak berkuasa Agama Islam Negeri Perak.

“Baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadah, berperanan untuk menyatukan ummah. Jika program atas nama parti politik dibenarkan menular dalam masjid dan surau, dibimbangkan rumah ibadah untuk penyatuan ini akan dicemarkan,” kata Abd Rahim.

Sultan Nazrin turut memberi perkenan terhadap cadangan Mohd Yusop agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan.

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.

Semalam, enam pemimpin parti politik dipanggil menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, susulan polemik isu tersebut.

Baginda bertitah, semua enam pemimpin parti politik yang hadir memberikan komitmen menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia, untuk memulihara kesucian masjid dan surau daripada dicemari oleh kegiatan politik berparti.

Antara yang hadir adalah Menteri Besar yang juga Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Amanah, Asmuni Awi; Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pembangkang pula diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria. – 26 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.