WARAN tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (Meio) Datuk Hasanah Abdul Hamid dipersoalkan peguamnya.

Shahrudin Ali berkata waran itu dikenakan kerana Hasanah tidak hadir semasa pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Shahrudin, undang-undang hanya mengkehendaki kehadiran tertuduh semasa perbicaraan tetapi pengurusan kes hanya merupakan proses pra-perbicaraan.

“Bagaimana waran tangkap dikeluarkan untuk memaksa kehadiran tertuduh pada pengurusan kes, sebagai contoh, untuk menetapkan tarikh?

“Kenapa kamu perlu melihat tertuduh di mahkamah untuk amalan selama tiga minit ini antara timbalan pendakwa raya dan peguam?

“Selain itu, mengapa perlu ditahan sedangkan tertuduh telah membayar wang ikat jamin? Mahkamah membenarkan ikat jamin hanya jika mahkamah pasti tertuduh tidak akan melarikan diri atau hilang pada perbicaraan!” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrudin turut memaklumkan bahawa pengurusan kes bukan merupakan perbicaraan.

Malah anakguamnya tidak perlu terlibat dengan pengurusan kes, ianya hanya perlu dihadiri oleh pihak peguambela dan pendakwa raya.

“Yang terlibat dalam pengurusan kes adalah peguam dan timbalan pendakwa raya. Bukan tertuduh.

“Malah, dalam kes Hasanah, tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 3 Feb tahun depan. Hasanah tidak pernah gagal hadir di mahkamah sebelum ini, sama ada pengurusan kes atau tidak.

“Mengapa perlu untuk menangkap beliau untuk pengurusan kes selama beberapa minit ini?” katanya.

Mahkamah sebelum ini, mengeluarkan waran tangkap Hasanah yang dituduh pecah amanah melibatkan wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta kerana  gagal hadir semasa pengurusan kesnya.

Hasanah berhadapan tuduhan melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei 2018.  – 26 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.