PERDANA MENTERI, Tun Mahathir Mohamad sememangnya dikenali sebagai pemimpin yang tegas dalam melaksanakan sebarang agenda dalam memajukan negara.  Beliau juga sering kali dilihat memberi nasihat kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Berikut antara 10 nasihat beliau :

1.Rakyat perlu bina masjid secara sendiri – Tun Mahathir menyeru kepada orang Islam di negara ini untuk membangunkan masjid di kawasan masing-masing tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Beliau turut memberi contoh masyarakat di Mahgribi dan Khazakstan yang mendirikan masjid tanpa bergantung kepada orang lain.

“Masjid-masjid yang didirikan, kebanyakannya oleh orang tempatan itu sendiri. Mereka tidak bergantung kepada orang lain, jauh sekali bergantung kepada orang yang seagama dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Jitra, Kedah 26 Mei lalu.

2. Melayu jangan bergantung pemberian orang – Tun Mahathir mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada pemberian orang lain sebaliknya perlu berusaha sendiri dalam memajukan diri masing-masing. Kerana sikap bergantung kepada pemberian orang lain boleh melemahkan jiwa seseorang.

“Kita akan jadi lemah kerana bergantung kepada orang lain bila tidak ada orang lain kita akan jatuh kerana tidak ada keupayaan untuk mempertahankan diri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan di Masjid Nurus Salam, di Langkawi pada 24 Mei lalu.

3. Matrikulasi pintu belakang orang Melayu – Orang Melayu perlu bersyukur kerana kerajaan sudah menyediakan program matrikulasi yang banyak membuka peluang kepada golongan ini dan bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita adakan kelas matrikulasi kerana kita dapati pelajar Melayu tidak mahu ambil Sijil Tinggi Pelajaran (STPM), jadi tidak boleh masuk universiti.

“Jadi kita adakan pintu belakang kepada mereka. Ia memang berperanan sebagai pintu belakang untuk pelajar Melayu,” kata perdana menteri dalam satu sesi temu bual dengan pemberita di pejabatnya pada 6 Mei lalu.

4. Rakyat perlu tanam padi waktu malam – Perdana menteri berhasrat untuk memperkenalkan penanaman padi pada waktu malam untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing.

“Kita sedang fikir sama ada kita boleh alih waktu kerja daripada siang hari kepada malam. Memanglah gelap, tapi orang kaya boleh main golf waktu malam, mungkin kita boleh tanam padi waktu malam sebab siang panas. Ini boleh kurangkan tekanan,” katanya ketika berucap pada majlis anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 2 Mei lalu.

5. Pemimpin bebas rasuah – Beliau berpendapat bahawa pemimpin perlu memberi contoh yang baik kerana mereka adalah yang dipilih oleh rakyat. Sekiranya pemimpin mengamalkan rasuah ianya akan membawa imej negatif serta mendorong anggota kerajaan dan pentadbir terlibat sama.

“Ya bagi mereka mungkin kerana disebabkan rasuah mereka lebih sempurna, mereka mendapat pendapatan yang lebih dan apabila kita cuba bersihkan negara daripada rasuah sudah tentu mereka tidak dapat wang rasuah yang biasa diterima oleh mereka.

“Ada juga di antara kita yang berpendapat bahawa lebih baik mempunyai pemerintah yang rasuah yang akan memberi bantuan kepada kita, beri wang kepada kita secara percuma walaupun haram,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam negeri Perak pada 5 Mei 2019.

6. Negara Islam terlalu bergantung kepada negara maju – Kebergantungan negara Islam terhadap negara maju khususnya barat menyebabkan mereka tidak berani membantah tindakan tidak betul yang dilakukan oleh negara tersebut.

“Negara Islam terlalu bergantung kepada negara maju untuk segala-galanya. Kebolehan mereka amat terhad,” katanya ketika menghadiri sidang akhbar di Pakistan pada 23 Mac lepas.

7. Melayu jangan malas – Perdana menteri berkata orang Melayu terlalu memilih pekerjaan, tidak mahu bekerja dalam keadaan panas terik dan tidak tahan berdiri lama-lama. Hingga keadaan mendorong sektor swasta untuk menggaji 7 juta pekerja asing.

“Kalau kita tak nak kerja, orang lain akan datang bekerja. Akhirnya orang asing yang memiliki negara ini. Sekarang sudah ada tujuh juta orang (pekerja warga) asing di Malaysia,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya pada 29 Disember, tahun lalu.

8. Jangan harapkan tongkat – Tun Mahathir mengingatkan rakyat mengenai bantuan yang diberikan selama ini bukan bersifat kekal. Beliau turut berkata orang yang tidak bergantung dengan bantuan dengan kerajaan adalah orang yang berjaya.

“Pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah. Mengekalkan tongkat kerana kemuliaan bagi diri tidak berasas.

“Sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran – mereka inilah orang yang mulia,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 DIsember, tahun lalu.

9. Jangan bergantung pada insentif – Pemberian subsidi dan insentif tidak memberi impak yang baik kepada rakyat, beliau berpendapat ianya akan membuatkan rakyat hilang keupayaan sekiranya suatu hari nanti tidak memperoleh bantuan.

“Jika rakyat Malaysia menjadi seperti ini, tidak lama lagi mereka tidak boleh berfikir, malah tidak mampu bergerak, tidak mampu berbuat sesuatu dengan sendiri kerana mereka akan selalu menunggu subsisi,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran Dasar Industri 4.0 Negara di ibu negara, 31 Oktober 2019.

10. Mahu BR1M dihentikan – Tun Mahathir berhasrat untuk menamatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ianya disifatkan sebagai rasuah kepada rakyat.

“Tetapi dengan memberi wang hanya kerana seseorang itu meraih kurang RM4,000 sebulan, tanpa menyelidik keadaan sebenar, itu adalah salah, itu adalah rasuah,” katanya ketika merasmikan sebuah program di ibu negara pada 17 Ogos 2018.

Namun selepas pemansuhan BR1M, kerajaan menggantikan dengan Bantuan Sara Hidup (BSH). – NTHQiBord, 27 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.