MARAH betul Pemuda PKR (AMK) bila ada pihak mendakwa program berbuka puasa yang mereka adakan baru-baru ini dituduh sebagai pesta dan tidak menghormati Ramadan.

Apatah lagi Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menebal muka terpaksa meminta maaf kepada umum atas kelakuan anak buahnya itu.

Wakil program itu yang juga pemimpin akar umbi AMK, Akhram Ahmar menafikan Program Iftar Perdana bersama Timbalan Ketua AMK Malaysia yang berlangsung didakwa seperti pesta dan terdapat unsur-unsur yang melawan norma-norma budaya Islam.

Akhram berkata antara tentatif program yang bermanfaat adalah ceramah oleh Pencetus Ummah (PU) Taha, solat tarawih berjemaah, rakaman takbir raya.

Malah beliau juga memberikan contoh program “Ramadan Jazz Festival” di Jakarta yang anjurkan ketika bulan puasa untuk menarik minat anak muda di samping turut menyelitkan unsur dakwah.

Namun netizen mengecam beberapa aktiviti program seperti persembahan bunga api dan persembahan kugiran yang dianggap tidak sesuai dilakukan, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.

“10 mlm terakhir.. umat islam buat pecutan dlm ibadah.. cari mlm al qadar. Hang dah bakar mercun, berjoget, nyanyi lagu raya bagai. Level budak sekolah ja pkr ni. Ni baru tonggang agama.. majlis sia2 yg dibuat atas nama agama,” kata pengguna Facebook bernama Mhd Syaheer.

“Di mana aqal ketika nak set up mjls??yg susun mjls iftar tu semua kafir ke??da jadi amalan buat dulu, permohonan maaf kemudian jika da jd viral..!,” komen Sheikh Al-Makki.

Malah ada yang persoalkan bagaimana Anwar mahu menjaga Islam di negara ini apabila menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad jika gagal menerapkan nilai Islam kepada anak buahnya sendiri?

“Saya mahu insya-Allah jika diberi ruang untuk mentadbir negara ini, tadbir sebagai tokoh yang jelas pendirian dan keyakinan dalam Islam,” itu kata-kata Anwar pada 16 Mei lalu.

Satu lagi persoalan timbul adalah adakah teguran Anwar itu sebenarnya ditujukan kepada Datuk Seri Azmin Ali yang disebut-sebut menjadi penghalang cita-cita Anwar?

Ini kerana ada komen netizen mengatakan ahli AMK yang terlibat dalam program itu merupakan kem Azmin.

“Pemuda PKR bawah cartel Azmin Ali kaki pesta! Pemuda Merosakkan masa depan Malaysia!,” kata pengguna Facebook bernama Aman Shah.

Jika ini benar, maka tidak mustahil sedang berlakunya perang proksi antara kedua-dua kem iaitu antara Azmin dan Anwar.

Apapun kesudahan ‘perang’ kedua-dua mereka ini, eloklah manfaatkan 10 malam terakhir mencari Lailatulqadar, bukannya sibuk berpesta. – 27 Mac 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.