BEBERAPA hari lalu Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa mengatakan bahawa kerjasama antara PAS dan UMNO tidak akan pergi jauh.

Katanya, walaupun ada piagam, tidak ada jaminan bahawa hubungan itu bakal terjalin erat. Husam mengambil contoh hubungan suami isteri yang bukan selalu baik, kadang-kadang bergaduh, malah boleh bercerai.

Namun, bagi Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan kenyataan Husam itu lebih bersifat iri hati.

“Perpaduan ummah yang sedang dijalin antara PAS dan UMNO semakin kukuh, semakin hari semakin baik terutama dalam bulan Ramadhan al Mubarak ini. Tambah erat menjelang hari lebaran kelak,” kata Nasrudin dalam suatu kenyataan.

Kerjasama UMNO-PAS, dua parti terbesar umat Islam dan orang Melayu yang dulunya saling bertelingkah kini sedang menyusun rencana bersama guna mendepani cabaran, khususnya usaha untuk mengalahkan PH yang kini didominasi oleh DAP.

Saban hari, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan DAP-PH untuk memecahkan kerjasama dua parti terbesar Melayu ini, termasuk tuduhan “bakal menjadi Taliban”.

Kegusaran itu juga menyebabkan Husam yang pernah menjadi Naib Presiden PAS seolah-olah mahu mengajar PAS cara untuk berkerjasama dengan pihak lain.

Namun, bagi Nasrudin PAS telah melalui proses yang begitu teliti dan berhemah dalam membuat keputusan mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO.

Bermula dari Majlis Syura Ulama, AJK PAS pusat, agensi-agensi tertentu yang dilantik oleh parti untuk membuat kajian, memproses maklumat, merencana asas tindakan sehinggalah akhir nanti, ahli-ahli PAS melalui perwakilan masing-masing akan bermesyuarat dan berbincang mengenainya di muktamar tahunan.

Nasrudin percaya itu sebahagian daripada percubaan PH untuk letuskan propaganda supaya timbul rasa tidak puas hati dari kalangan ahli terhadap kerjasama PAS dan UMNO.

Apa yang zahir ialah mereka sedang kelam kabut saat PAS dan UMNO mengatur rencana untuk mengeratkan kerjasama kedua parti khasnya dan orang Melayu yang beragama Islam amnya, di samping turut sama melibatkan kerjasama serta sokongan non muslim.

Husam dinasihatkan melihat keadaan dalaman partinya yang kini diibaratkan lebih kepada penumpang dalam kerajaan DAP–PH.

UMNO dan PAS wajar terus memandang ke hadapan dan memperbaiki mana-mana kekurangan yang ada bagi menghadapi PRU yang akan datang. – NTHQiBord, 27 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.