AIDILFITRI semakin hampir. Kesunyian akibat kehilangan orang tersayang sudah dirasai sejak awal Ramadan.

Ini kali pertama ibu dan ayah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berpuasa tanpa kelibat anak kesayangan mereka.

Dan pastinya, perasaan yang sama akan dilalui oleh mereka berdua bagi Ramadan dan Aidilfitri yang seterusnya.

Bagi Mohd Kassim, beliau redha dengan pemergian Adib walaupun mengakui hatinya masih terasa sunyi.

“Banyak perkara seperti rasa lain. Bulan puasa sebelum ini, kalau balik dia suka makan macam-macam,” luahnya kepada sebuah portal.

Bagi ibu arwah, Asma Azis, hatinya tersimpan kesedihan yang lebih mendalam selepas kehilangan anak tersayang angkara kerakusan dan keceluparan manusia.

“Masih sedih,” katanya ringkas apabila diajukan soalan mengenai anak lelakinya itu.

Sudah berbulan inkues kematian arwah Adib dijalankan, tetapi masih belum nampak hasil yang kukuh untuk membela kematian anggota bomba itu.

Sebaliknya, drama demi drama di Mahkamah Koroner Shah Alam yang disajikan kepada rakyat Malaysia yang semakin hilang sabar dan mahu keadilan ditegakkan buat Adib.

Sama ada Adib meninggal dunia akibat dipukul perusuh atau dilanggar kenderaan bomba, rakyat mahu mereka yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan itu diheret sama ke muka pengadilan.

Harus diingatkan, rusuhan di kuil Seafield pada November tahun lalu berpunca akibat pertelagahan antara pihak kuil dan syarikat pemaju, One City.

Kemudian krisis itu disemarakkan lagi oleh keceluparan exco Bangsa DAP, V Ganabatirau yang menuduh sekumpulan orang Islam menyerang kuil tersebut.

Bertambah buruk lagi, Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy menyalahkan pula pihak polis kerana lambat bertindak.

Jika benarlah Adib meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan bomba, kerajaan harus mengheret empat pihak terbabit yang memulakan krisis di Seafield, sekali gus menjadi antara punca kematian arwah.

Mereka adalah pihak pengurusan kuil dan pemaju yang tamak, dan seorang exco dan seorang menteri yang celupar.

Jangan fikir rakyat tidak tahu menilai atau perhatian dialihkan dengan inkues kematian yang sedang berlangsung.

Kerajaan Pakatan Harapan harus diingatkan bahawa rakyat sentiasa memerhati dan peka tentang perkembangan kes ini serta mahukan keadilan yang sewajarnya diberikan untuk keluarga arwah Adib. – 27 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.