LELAKI warga Nigeria hari ini didakwa di Mahkamah Majistret, Sepang atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Mayat ditemui dalam unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Setakat ini tiada pengakuan yang direkodkan daripada tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho.

Sepanjang priosiding Alowonle dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk.

Lelaki berumur 36 tahun itu dituduhkan menyebabkan kematian Siti Kharina di Tower 1, Third Avenue Kondominium, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang.

Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Siti Kharina yang disyaki hilang pada mulanya ditemui meninggal dunia dengan kesan kelar di bahagian dada.

Mayat jururawat itu ditemui oleh pemilik rumah sewa kira-kira jam 2.30 petang selepas dia melihat kesan darah mengalir keluar daripada satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

Polis kemudian bertindak menahan suspek lelaki warga Nigeria di sebuah kafe di pusat membeli belah di Cheras Sentral, Cheras. – 27 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.