SEBANYAK 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang membantah projek tambak laut di perairan selatan (Penang South Reclamation – PSR).

Mereka akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggesa beliau campur tangan agar kerajaan negeri membatalkan projek tersebut.

Selain itu, memorandum yang sama turut akan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; dan juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Projek tambak ini akan membentuk tiga buah pulau buatan dan bakal menjejaskan ekosistem alam semulajadi, sosio-budaya , ekonomi dan persekitaran.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain mempertikaikan projek pulau mega yang dibina atas kawasan 4,500 ekar itu untuk siapa sebenarnya.

Dakwanya, dianggarkan populasi di kawasan itu dijangka mencecah 400 ribu penduduk, tetapi siapa dan dari mana tidak dipastikan. Bagi beliau, mustahil rakyat tempatan mampu memiliki hartanah di Pulau Pinang kerana harganya sekitar RM250 ribu – 400 ribu seunit.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar pada Sabtu lalu Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussof Latif berkata, berharap Mahathir campur tangan dalam isu ini.

Bagi beliau kerajaan negeri seolah-olah tidak mahu mendengar suara rakyat dan tetap mahu meneruskan projek berkenaan walaupun menerima bantahan pelbagai pihak

Beliau yakin Mahathir akan memberikan tumpuan yang serius terhadap memorandum ini kerana beliau amat prihatin dengan masalah rakyat.

Antara NGO yang terlibat dalam merangka memorandum itu ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Persatuan Pengguna Pulau Pinang ( CAP), Alumni Belia 4B, Persatuan Penduduk Tanjung Bunga, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan lain-lain.

Bagi penduduk Pulau Pinang bukan projek mega yang mereka mahukan, tetapi projek perumahan yang mampu dimiliki.

Akhirnya penduduk tempat sedikit demi sedikit terpaksa berhijrah ke tempat lain kerana tidak mampu membeli hartanah di Pulau Pinang.

Adakah agenda lain di sebalik semua projek mega ini? Adakah ini projek terancang meminggirkan dan menghalau orang Melayu daripada pulau ini? Hakikatnya, sedikit demi sedikit secara tidak langsung orang Malayu dikeluarkan dari tanah tumpah darah mereka. – 27 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.