DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan tindakan Pemuda PKR (AMK) berpesta pada malam Ramadan sebagai kurang cerdik dan kurang pendidikan.

Timbalan DPPM, Khairil Nizam Khirudin berkata, adab menghormati bulan Ramadan bukanlah perkara yang rumit, tetapi merupakan perkara asas dan menjadi tanggungjawab untuk semua orang Islam.

Sehubungan itu, Khairil menyarankan agar ketua AMK dan ahli jawatankuasanya untuk belajar semula tentang adab menghormati Ramadan, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang sepatutnya dihabiskan untuk mencari malam Lailatulqadar.

“DPMM tak tahu di mana AMK belajar dalam agama atau berguru dengan siapa bahawa mencari Lailatulqadar ini boleh dilakukan dengan menyanyi, buat pesta.

“Apakah itu yang ingin diterapkan oleh pemuda-pemuda Islam dalam negara ini?” katanya ketika dihubungi NTHQiBord hari ini.

Mengulas mengenai teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tindakan ‘liar’ AMK, Khairil berkata cabang pemuda parti itu harus ambil pengajaran dari kesilapan dan kekhilafan yang mereka lakukan.

Semalam, Anwar terpaksa memohon maaf selepas tindakan AMK menganjurkan program iftar dicemari dengan acara yang tidak sepatutnya seperti pertunjukan bunga api dan persembahan kugiran.

Ia susulan kecaman netizen terhadap program tersebut yang disifatkan tidak menghormati kesucian bulan Ramadan.

Bagaimanapun wakil program itu yang juga pemimpin akar umbi AMK, Akhram Ahmar menafikan Program Iftar Perdana bersama Timbalan Ketua AMK Malaysia yang berlangsung didakwa seperti pesta dan terdapat unsur-unsur yang melawan norma-norma budaya Islam.

Akhram berkata antara tentatif program yang bermanfaat adalah ceramah oleh Pencetus Ummah (PU) Taha, solat tarawih berjemaah, rakaman takbir raya. – NTHQiBord, 27 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.