SUDAH empat bulan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berlangsung dengan harapan dapat mencari keadilan buat arwah dan keluarganya.

Tapi sejak dijalankan pada 12 Februari lalu, hanya kekusutan dan kekeliruan yang dapat dirumuskan setakat ini walaupun berpuluh saksi dan pakar teori dipanggil untuk memberi keterangan kepada Mahkamah Koroner Shah Alam.

Kemuncaknya, keputusan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menggugurkan peguam arwah Adib, Syazlin Mansor amat mengecewakan dan mengundang kemarahan ramai pihak terutamanya rakyat yang mahu menuntut keadilan buat arwah.

Pada mulanya, Zuraida memberitahu bahawa Syazlin digugurkan atas arahan tetapi tidak menyebut siapa yang memberi arahan tersebut.

Kemudian, menteri PKR itu memberi alasan bahawa pengguguran Syazlin kerana tugasnya bertindih dengan Pejabat Peguam Negara untuk membela kematian Adib.

Adakah rakyat terlalu bodoh untuk menilai alasan dan keputusan kerajaan dalam perkara ini?

Adakah kerana keluarga Adib dalam kalangan orang biasa dan perasaan mereka boleh dipermainkan begitu saja?

Kenapa selepas hampir empat bulan Zuraida memberitahu bahawa tugas Syazlin bertindih dengan Pejabat Peguam Negara sedangkan kementerian itu sendiri yang melantik peguam tersebut?

Adakah inkues yang berlangsung selama ini hanya mahu membuang masa dan mengalihkan perhatian rakyat yang dahagakan keadilan buat arwah Adib?

Adakah ini rule of law (kedaulatan undang-undang) yang dilaung-laungkan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya memerintah Malaysia?

Persoalan ini harus dijawab dengan telus dan terbuka oleh kerajaan PH agar rakyat tidak memberi persepsi buruk terhadap pemerintah baharu ini.

Ini kerana inkues kematian Adib ini dilihat lebih banyak mendatangkan kekusutan dan kekeliruan kepada rakyat terutamanya keluarga arwah sendiri, dan tidak menyelesaikan misteri punca kematian anggota bomba itu. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.