ISRAEL telah melancarkan serangan roket di kawasan Bukit Golan Syria, lapor agensi berita Syria SANA dan tentera Israel.

“Peluru berpandu Israel menyasarkan Tel al-Shaar di Quneitra,” kata agensi berita Syria, sambil menambah bahawa “serangan menyasarkan kenderaan tentera dan ada cedera.”

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial pada hari Isnin, mengatakan ia tindak balas terhadap serangan anti-pesawat Syria yang menembak jet pejuang Israel.

Ia mengatakan bahawa peluru itu tersasar ketika jet Israel melakukan penerbangan rutin dan pesawat itu selamat mendarat sebelum tentera Israel kemudiannya “menyasarkan serangan balas terhadap kenderaan anti-pesawat Syria.

Kenyataan Israel dikeluarkan selepas saluran televisyen milik negara Syria Al Ekhbariya mengatakan seorang askar terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan di wilayah Quneitra, yang bersebelahan dengan Bukit Golan yang diduduki.

“Dasar kami jelas – kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pencerobohan terhadap kami, kami akan bertindak balas dengan tegas,” kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan video.

Awal bulan ini, media Syria melaporkan dua insiden di mana serangan udara Israel berlaku di selatan Syria.

Tahun lepas, kenderaan anti-pesawat menembak jatuh jet Israel selepas pulang dari misi serangan di Syria, menyebabkan gelombang serangan Israel terhadap sasaran lain di sana.

Israel biasanya tidak memberi komen mengenai laporan mengenai serangannya di Syria, walaupun baru-baru ini mengakui menyerang sasaran apa yang dikatakannya sebagai milik Iran dan Hizbullah di sana.

Hizbullah adalah kumpulan bersenjata dan politik Lebanon yang bersama dengan Iran, menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad.

Serangan udara Israel berlaku di tengah-tengah ketegangan di rantau ini di antara Iran dan Amerika Syarikat.

Rundingan antara negara menemui jalan buntu sejak Presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan beberapa kuasa dunia utama.

Terkini, Amerika Syarikat telah menuduh Iran mengancam dan minggu lepas mengerahkan armada pengangkut pesawat dan pengebom B-52 ke kawasan Teluk. – 28 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.