PENGGUGURAN Syazlin Mansor sebagai peguam Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menimbulkan polemik baru dan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keadilan.

Sehingga kini hanya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang memberi kenyataan memberikan penjelasan sebab-sebab pengguguran.

Selain itu tiada mana-mana pemimpin Melayu yang bersuara dalam isu Adib ini. Adakah mereka telah diberi arahan supaya menutup mulut masing-masing?

Adakah kerana kes masih sedang berlangsung di mahkamah maka sebarang kenyataan media tidak dibenarkan? Jika ini alasannya, mengapa pula dalam kes Datuk Seri Najib Razak, pelbagai pihak bebas bercakap sedangkan kes beliau juga masih sedang berjalan.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada menteri Melayu dan wakil rakyat Melayu daripada Pakatan Harapan tidak mendapat respon. Mereka gagal dihubungi sama ada talian sibuk atau ditutup terus.

Jika inilah sikap mereka, apalah yang dapat diharap untuk mereka mempertahankan hak orang Melayu di negara sendiri.

Isu kematian Adib bukan isu kecil dan terpencil. Kematiannya berlaku ketika sedang menjalankan tugas rasmi sebagai anggota bomba.

Laporan awal oleh pihak polis menunjukan bahawa terdapat kebarangkalian kecederaan Adib akibat diserang oleh perusuh pada malam rusuhan di kuil Seafield, Subang Jaya November tahun lalu.

Seorang pakar forensik memberitahu inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, berdasarkan uji kajinya, bahawa tidak mungkin anggota bomba itu dilanggar ketika van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berundur.

Namun bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid tampil dengan teori yang menunjukkan hampir mustahil Adib dilanggar berikutan kelajuan van EMRS tidak sepadan dengan kecederaan yang terhasil.

Keterangan Shahrom bercanggah dengan teori Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang mengatakan mangsa keluar sendiri dan alami kecederaan antara dua permukaan keras.

Dr Ahmad kemudiannya membuat laporan polis mengatakan dia diugut. Hal itu menimbulkan pelbagai andaian orang ramai terhadap ketelusan perjalanan kes ini.

Tentunya, pengguguran peguam Adib menambahkan lagi keanehan dalam kes ini.

Kini rakyat sedang menilai dan melihat “wayang” yang sedang dimainkn di depan mata merka. Dalam zaman langit terbuka ini tidak mudah kerajaan DAP-PH menyorok kebenaran daripada rakyat. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.