BUKAN sahaja rakyat yang keliru dengan penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang dilantik kerajaan bagi inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ahli keluarga arwah sendiri juga mengaku rasa keliru dengan perkembangan terbaharu ini seperti yang dinyatakan peguam yang dilantik keluarga terbabit, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Mohd Kamaruzaman mengetuai pasukan lima peguam untuk memberi nasihat kepada keluarga Adib.

Manakala Syazlin dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewakili kementerian itu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Pelantikan Syazlin juga sebagai mewakili keluarga Muhammad Adib, selain pasukan peguam yang dilantik keluarga Muhammad Adib sendiri.

“Kita (peguam) sudah beritahu keluarga (Muhammad Adib), tapi kita pun keliru, apa akan jadi.

“Ini berita mengejut kepada kami,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal.

“Kami nampak ada sesuatu yang terjadi, tapi kami tak tahu. Jadi kami mahu penjelasan kenapa tiba-tiba(keputusan itu dibuat).

“Kenapa tiba-tiba? Sebab kes ini dah nak habis dah, tiba-tiba berlaku macam ini,” katanya.

Kamaruzaman menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan inkues itu meskipun dengan penarikan diri Syazlin.

“Apapun kita akan teruskan, bagi kita, kita akan terus lawan untuk keluarga Muhammad Adib. Dengan atau tanpa (peguam) bomba,” katanya. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.