EKORAN aduan Amanah terhadap parti pembangkang di Perak yang menggunakan masjid untuk program parti, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah memanggil kesemua pemimpin parti politik ke istana.

Empat pemimpin Pakatan Harapan hadir pada pertemuan tersebut iaitu Asmuni mewakil Amanah, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak; Pengerusi PKR negeri , Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Dua wakil pembangkang juga hadir iaitu Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Saarani Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Kemudiannya, pihak istana mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung larangan mengadakan program kepartian di seluruh negeri Perak.

Ekoran itu, PAS Perak akur dan mengambil maklum larangan tersebut. Mereka mengambil pendekatan lebih berhati-hati supaya tidak melanggar arahan pihak istana.

“Kepatuhan ini hendaklah diikuti semua pihak bukan ke atas pembangkang sahaja dan pihak PAS.

“Memang selama ini kita akur titah baginda Sultan juga pekeliling dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengenai perkara ini,” kata Pesuruhjaya PAS Perak ketika dihubungi.

Beliau turut memberitahu, terdapat juga program DAP di masjid yang menggunakan logo parti pada kain rentang mereka.

Menurut Razman lagi larangan termasuklah penggunaan sepanduk yang mempamerkan lambang parti dalam bangunan dan di kawasan masjid dan surau.

Menurutnya, ahli politik juga sebahagian daripada anggota masyarakat di sesuatu kawasan yang menjadikan masjid dan surau sebagai tempat menimba ilmu dan menyampaikan tazkirah selain keberadaan mana-mana ahli politik perlu dilihat atas faktor individu bukannya nama parti diwakili.

“Jika dia seorang ahli Pas, mungkin juga dia seorang kadi, guru tahmid, imam atau ustaz, jadi sudah tentu mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab sekiranya dipanggil dalam program di masjid dan surau,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, bantahan daripada PH itu turut dilihat sebagai kegerunan mereka terhadap penyatuan ummah UMNO-PAS, bukan semata-mata salah guna masjid atau larangan istana. – 28 Mei 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.