KETEGASAN Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk memerangi penglibatan anggota polis dalam sindiket judi dan maksiat disambut baik oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Sejak 2010 lagi, JMM yang diketuai oleh Dato’ Azwanddin Hamzah sebagai Presiden, konsisten menentang aktiviti perjudian slot mesin.

Maka dengan amaran keras Ketua Polis Negara yang baharu itu, adalah berbaloi dengan perjuangan JMM selama hampir 10 tahun bagi memerangi aktiviti perjudian yang telah merosakkan rakyat negara ini terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Abdul Hamid baru-baru ini memberi amaran tidak akan berkompromi dengan anak buahnya yang bersetongkol dengan tauke judi.

Beliau juga tidak akan bertolak ansur dalam sebarang bentuk rasuah di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan percaya anggota yang jujur lebih ramai berbanding mereka yang korup.

Bagaimanapun perjuangan PDRM dan JMM dalam memerangi aktiviti perjudian haram tidak akan bermakna tanpa penglibatan agensi lain terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut dihantui isu rasuah.

Ini kerana PBT antara agensi terawal yang bertanggungjawab memberi lesen hiburan keluarga yang digunakan sebagai penyamaran aktiviti tidak bermoral oleh tauke-tauke judi.

Sehubungan itu, Azwanddin dalam satu kenyataannya menggesa PBT agar memandang serius terhadap usaha menghapuskan segala bentuk aktiviti perjudian dan maksiat yang boleh mengundang masalah sosial dan jenayah yang lebih teruk jika tidak dibendung.

Malah saranan Presiden JMM itu agar pemantauan dilakukan secara berkala dan bukannya bermusim juga perlu diambil kira dalam memastikan perjuangan agensi tersebut selaras dengan JMM dan PDRM.

Penguatkuasa PBT juga perlu berani dan telus untuk menjalankan siasatan terhadap anggota agensi mereka sendiri yang hidup mewah kerana menerima rasuah daripada tauke judi.

Jangan teragak-agak untuk menukar atau menggantung tugas mereka yang korup supaya barah rasuah itu tidak merebak dalam agensi penguatkuasa terbabit.

Namun segalanya perlu bermula dari pihak atasan yang wajib memberi contoh terbaik kepada anak buah masing-masing untuk bersungguh-sungguh perangi rasuah.

PBT juga boleh mengambil contoh daripada inisiatif PDRM yang diperkenalkan Abdul Hamid untuk memberi kenaikan pangkat bagi pegawai atau anggota mereka yang berani menolak rasuah.

Jika usaha memerangi aktiviti maksiat seperti sindiket mesin slot dan rumah urut haram ini dijayakan secara bersama oleh PDRM dan PBT, tidak mustahil gejala tidak bermoral itu dapat dihapuskan secara ‘total’.

Kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan kejujuran dan integriti yang tinggi oleh anggota penguatkuasa dalam melaksanakan amanah yang diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya tauke judi.

Ingatlah, setiap hasil yang diperoleh secara haram itu hanya bersifat sementara dan balasannya amatlah berat. – 28 Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.